Kapal tangki dikesan berlabuh tanpa kebenaran

Sebuah kapal tangki tanpa muatan dikesan berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 30.2 batu nautika tenggara Pulau Jarak. - Foto ihsan Maritim Perak
Sebuah kapal tangki tanpa muatan dikesan berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 30.2 batu nautika tenggara Pulau Jarak. - Foto ihsan Maritim Perak
A
A
A

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak menahan sebuah kapal tangki yang berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 30.2 batu nautika tenggara Pulau Jarak di sini pada Jumaat.

Pengarahnya, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kapal tersebut ditahan oleh bot ronda Maritim yang sedang melaksanakan Op Pintas di sekitar perairan negeri sekitar jam 4.15 petang.

“Maritim menerima maklumat pengesanan daripada Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) dan Sistem Pengawasan Laut (Swasla) Lumut mengenai sebuah kapal tangki yang mencurigakan di sekitar Pulau Jarak.

“Dua aset termasuk KM Malawali telah diatur ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan serta penggeledahan pada kapal yang berdaftar di Liberia itu,” katanya.

Menurutnya, kapal tersebut dikendalikan 19 kru termasuk master yang terdiri daripada warga tempatan, Rusia, Liberia dan Ukraine berusia sekitar 30 hingga 65 tahun.

“Kapal tanpa muatan itu dipercayai dalam perjalanan dari Chittagong, Bangladesh menuju ke Singapura.

“Kapal tersebut ditahan di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) kerana melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran Jabatan Laut Malaysia (JLM),” katanya.

Shahrizan berkata, kesemua kru bersama kapal ditahan di South East Point (SEP) di Perairan Pulau Pangkor bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

“Penahanan ini membuktikan bahawa Maritim sentiasa bersiap sedia menguatkuasakan undang-undang di perairan bagi membendung kegiatan jenayah di laut.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim negeri di talian 05-6838737 atau MERS 999,” katanya.