'Taik mesin' ancam nyawa rakyat Perlis

Tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja mengotorkan dan merosakkan struktur jalan malah boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal. Gambar: Sumber internet.
Tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja mengotorkan dan merosakkan struktur jalan malah boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal. Gambar: Sumber internet.
A
A
A

KUALA PERLIS - Isu jentuai meninggalkan bongkah tanah atau dikenali sebagai ‘taik mesin’ di atas jalan raya bukan perkara baharu di negeri ini, malah sering menjadi keluhan orang ramai setiap kali musim menuai padi.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja mengotorkan dan merosakkan struktur jalan malah boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal.

Seorang pekerja kedai serbaneka, Mohd Afiq Saidin, 31, berkata, pada tahun ini sahaja beliau sudah dua kali jatuh motosikal akibat terlanggar bongkah tanah di atas jalan yang ditinggalkan oleh jentuai.

“Pada 14 Februari lepas, kali kedua saya jatuh motosikal setelah gagal mengelak ‘taik mesin’ (bongkah tanah) ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Jalan itu agak gelap menyebabkan saya tidak nampak bongkah tanah sebesar baldi yang keras seperti batu di tengah jalan. Mujur saya hanya mengalami luka kecil pada tangan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Turut berkongsi pengalaman yang sama, Zharif Yahya, 41, berkata, isu tersebut bukan baharu sebaliknya telah lama berlaku.

“Kalau tak percaya, boleh tanya sendiri orang kampung, berapa ‘kerat’ (beberapa orang sahaja) yang tidak pernah jatuh motosikal akibat terlanggar taik mesin,” katanya.

Sementara itu, pengusaha jentuai yang hanya mahu dikenali sebagai Mat, 49, berkata, mereka terpaksa menggunakan jalan raya kerana harga sewa lori pengangkut setinggi RM300 untuk satu perjalanan.

Artikel Berkaitan:

“Kos yang tinggi ini tidak berbaloi untuk pemindahan jentera dalam jarak dekat,” katanya yang telah 10 tahun menguruskan perusahaan mesin menuai padi keluarganya.

Mat berharap kerajaan negeri dapat menambah jalan ladang bagi membolehkan kerja-kerja pemindahan jentuai tanpa perlu melalui jalan raya.

“Jalan ladang yang ada hanya terhad di beberapa kawasan sahaja, jika ada jalan ladang di semua kawasan kita tidak perlu guna jalan raya untuk alih jentuai,” katanya.

Turut berkongsi pendapat, Mohd Sharoni Ramli, 31, bahawa tiada pilihan menyebabkan beliau dan pengusaha jentuai lain terpaksa mengguna jalan raya bagi memindahkan jentera itu.

“Kebanyakan sawah padi terletak berhampiran jalan raya, manakala jalan ladang atau jalan kampung jauh di belakang menyebabkan kami tiada pilihan mahu atau tidak untuk terus mengguna jalan raya,” katanya. - Bernama