COOP OKB jalin kerjasama strategik dengan Koperasi UMK Berhad

Ahmed Tarmize (kiri) bersama Nik Izani (lima dari kiri) pada majlis menandatangani kerjasama di antara COOP OKB dengan Koperasi UMK Berhad pada Ahad
Ahmed Tarmize (kiri) bersama Nik Izani (lima dari kiri) pada majlis menandatangani kerjasama di antara COOP OKB dengan Koperasi UMK Berhad pada Ahad
A
A
A

KOTA BHARU - Koperasi Orang Kota Bharu Berhad (COOP OKB) menjalinkan kerjasama strategik dengan Koperasi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Berhad bagi memperkasa keusahawanan, penyelidikan dan pembangunan produk berimpak tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif COOP OKB, Ahmed Tarmize Mohd Yusoff Tuan Padang berkata, kerjasama itu bukan sekadar memeterai persefahaman, sebaliknya menjadi platform menggabungkan kekuatan sektor koperasi dengan kepakaran akademik bagi melonjakkan pembangunan ekonomi negeri.

Menurut beliau, kolaborasi tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan keusahawanan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan modal insan, pengkomersialan hasil penyelidikan, pemasaran bersama serta pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Jalinan kerjasama ini merupakan satu langkah penting dalam usaha memperkasakan gerakan koperasi melalui pendekatan kolaboratif bersama institusi yang mempunyai kepakaran dalam bidang akademik, penyelidikan dan inovasi.

"Kami yakin gabungan kekuatan kedua-dua koperasi bukan sahaja memberi manfaat kepada anggota, malah mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi Kelantan serta memperkukuhkan ekosistem koperasi negara," katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Majlis menandatangani kerjasama itu dihadiri Pengerusi COOP OKB, Datuk Nik Izani Nik Ibrahim; Ahmed Tarmize serta Pengerusi Koperasi UMK Berhad, Prof Madya Dr Mohd Hafiz Jamaludin bersama barisan ahli lembaga koperasi.

Ahmed Tarmize berkata, kerjasama tersebut turut membuka peluang kepada warga UMK, anggota koperasi dan usahawan tempatan untuk menyertai pelbagai program pembangunan yang akan dilaksanakan secara bersama.

Sementara itu, Mohd Hafiz berkata, pihaknya menyambut baik kerjasama berkenaan yang disifatkan mampu memperluaskan pelaksanaan penyelidikan gunaan, pemindahan ilmu serta pembangunan produk inovatif.

Beliau berkata, kerjasama itu juga dijangka memberi nilai tambah kepada pembangunan komuniti menerusi pelaksanaan pelbagai program yang dirancang secara bersama antara kedua-dua koperasi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!