X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 23 Januari 2022

Antara persaingan dan perwakilan

A
A

UMUMNYA semua tahu bahawa Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berperwakilan.

Dalam sistem ini, idea demokrasi diterjemahkan dengan menekankan peranan wakil-wakil rakyat yang menggubal dasar dan undang-undang di Parlimen di mana mereka bertanggungjawab secara langsung kepada rakyat.

Sistem ini memudahkan proses politik berbanding dengan demokrasi langsung.

Ringkasnya, demokrasi berperwakilan dipilih kerana ia lebih kondusif, cekap dan berupaya meminimumkan konflik politik dalam konteks Malaysia yang bermasyarakat majmuk. Namun risiko mengamalkan sistem demokrasi berperwakilan jelas dilihat dalam keupayaan rakyat keseluruhan untuk mengawal tindak-tanduk kerajaan yang memerintah.

Masalah utama sistem ini kerana adanya ruang politik yang sangat luas di antara rakyat dan kerajaan.

Antara kritikan utama terhadap hal itu datang dalam dimensi wakil rakyat itu sendiri.

Kecenderungan demokrasi untuk membentuk pemerintahan oligarki serta pengaruh golongan kapitalis ke atas wakil-wakil rakyat selalunya akan menenggelamkan terus peranan serta kepentingan rakyat yang memilih mereka.

Akhirnya, jurang itu makin melebar lantas menjadikan demokrasi seperti perayaan bermusim.

Wakil rakyat hanya akan disemak oleh rakyat ketika pilihan raya berlangsung lima tahun sekali.

Ini menjadikan demokrasi sekadar satu mekanisme untuk memilih ketika pilihan raya semata-mata. Walhal mereka sepatutnya disemak oleh rakyat sepanjang masa mereka terpilih sebagai wakil rakyat.

Persaingan politik biasanya wujud dalam suasana yang bebas, terbuka dan tidak memihak.

Selalunya kewujudan parti politik dan gerakan-gerakan masyarakat sivil sangat tinggi dalam negara-negara yang bersifat demokratik.

Ruang politik dan persaingan yang luas dan terbuka memberikan kelebihan kepada semua pihak tanpa prejudis.

Ia sekali gus meninggikan penyertaan rakyat dalam setiap aktiviti politik dan kerajaan lantas mengecilkan ruang kewujudan pemerintahan oligarki selain tidak menjadikan demokrasi sekadar perayaan bermusim.

Keadaan sebegini akan memungkinkan dua angkubah terpenting dalam sistem demokrasi – persaingan dan perwakilan – muncul dengan baik dan berkesan.

Aspek persaingan selalunya bergerak dalam lingkungan sistem politik yang formal melibatkan usaha parti-parti politik bersaing bagi memenuhi tuntutan rakyat yang pelbagai manakala aspek perwakilan pula lebih menggerakkan proses pendemokrasian yang bergerak dalam lingkungan sistem politik yang tidak formal.

Lazimnya ia dimainkan oleh agensi-agensi politik selain parti politik seperti kumpulan pendesak, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kesatuan sekerja dan sebagainya.

Walaupun begitu, aspek persaingan selalunya memperlihatkan risiko politik yang tinggi dalam demokrasi.

Ini kerana ia akan melibatkan usaha-usaha bersifat pertentangan dalam konteks persaingan mewakili kepentingan kelompok tertentu.

Ada kecenderungan disebabkan oleh kadar persaingan yang tinggi, maka elemen-elemen tidak demokrasi digunakan bagi menekan dan menutup persaingan daripada pihak lawan.

Inilah yang kadang-kadang mematikan demokrasi lantas mengubah sesuatu negara menjadi tidak demokrasi. Sebab itu aspek perwakilan juga perlu seiring dengan persaingan.

Melebarkan ruang perwakilan akan membesarkan penglibatan rakyat dalam aktiviti berkerajaan.

Ia sekali gus akan meningkatkan proses pendemokrasian dan mendorong aspek persaingan tadi menjadi lebih terbuka dan sihat.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!