Daftar syarikat baharu di Perak meningkat

Zainol Fadzi membuat pemeriksaan mata ketika meninjau operasi premis QAP Optometrist cawangan Bagan Serai.
Zainol Fadzi membuat pemeriksaan mata ketika meninjau operasi premis QAP Optometrist cawangan Bagan Serai.
A
A
A

BAGAN SERAI - Lebih banyak perniagaan baharu didaftarkan di Perak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Beliau berkata, rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkkan, purata sebulan tidak kurang 2,000 syarikat baharu didaftarkan di negeri ini dalam tempoh Mac hingga November 2020.

Menurutnya, peningkatan pendaftaran syarikat itu kebanyakannya daripada sektor e-dagang atau berniaga secara dalam talian terutama makanan.

"Situasi awal PKP dahulu menyaksikan banyak kedai tidak dibenarkan beroperasi, jadi e-dagang menjadi konsep perniagaan yang paling berkesan dan popular kalangan peniaga.

"Tambahan pula ramai yang berhenti kerja dan hilang pendapatan, kebanyakan mereka membuka syarikat untuk menjalankan perniagaan, jadi sebab itu ada berlaku peningkatan yang tinggi dari segi daftar baru syarikat," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan penyerahan laptop kepada lima pelajar sumbangan QAP Optometrist dengan kerjasama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Pongsu dan Sekreatariat Usahawan Negeri Perak (STeP) di Dataran Bagan Serai pada Khamis.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak, Datuk Sham Mat Sahat; Pengarah STeP, Mohamad Rozlan Mohamad Razalli dan Pemilik QAP Optometrist, Mohd Izani Adzhan.

Artikel Berkaitan:

Zainol Fadzi (dua, kiri) ketika merasmikan penyerahan laptop kepada lima pelajar sumbangan QAP Optometrist dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Alor Pongsu dan Sekreatariat Usahawan Negeri Perak (STeP) di Dataran Bagan Serai pada Khamis.
Zainol Fadzi (dua, kiri) ketika merasmikan penyerahan laptop kepada lima pelajar sumbangan QAP Optometrist dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Alor Pongsu dan Sekreatariat Usahawan Negeri Perak (STeP) di Dataran Bagan Serai pada Khamis.

Zainol Fadzi berkata, daftar perniagaan penting bagi memastikan kelayakan menerima apa juga bentuk bantuan seperti pembiayaan dan geran yang disediakan kerajaan baik di peringkat Pusat mahupun negeri.

Katanya, setakat tahun lalu, Perak merekodkan 150,762 syarikat berdaftar dengan SSM, namun daripada jumlah itu, hanya kira-kira 25,000 syarikat yang berstatus aktif.

"Tidak semua sektor terkesan disebabkan Covid-19 ini, di Perak dianggarkan 30 peratus sahaja. Pengalaman saya turun ke bawah dapat melihat semangat mereka untuk memulihkan kembali perniagaan masing-masing begitu tinggi.

"Ada yang baru nak bermula, ramai juga yang telah lama berniaga, tetapi dengan bantuan-bantuan disediakan, mereka dapat meneruskan perniagaan masing-masing," katanya.