Fasa peralihan monsun bermula 16 Mac ini

Fasa peralihan monsun bermula 16 Mac ini.
Fasa peralihan monsun bermula 16 Mac ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia bakal memasuki fasa peralihan monsun bermula 16 Mac ini, yang lazimnya berlaku ribut petir dan hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa pendek.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan berkata, keadaan cuaca tersebut turut berpotensi menyebabkan banjir kilat selain kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

“Semasa fasa peralihan monsun, keadaan cuaca ini berlaku pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Tambah kenyataan itu, fasa peralihan monsun itu dijangka berterusan sehingga pertengahan Mei ini.

Menurutnya, permulaan fasa tersebut menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang telah bermula sejak 11 November lalu.

“Dalam tempoh ini kawasan serantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi rnyCuaca dan media sosial.

“Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: