X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Kerajaan lulus pinjaman skim pembiayaan PKS Penjana RM1.315 bilion

Tengku Zafrul - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan meluluskan sejumlah 6,973 permohonan melibatkan nilai pinjaman sebanyak RM1.315 bilion di bawah pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) setakat 26 Februari 2021 berbanding RM1.258 bilion pada minggu sebelumnya.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan keseluruhan sebanyak RM2 bilion di bawah program itu mengutamakan PKS yang belum pernah mendapat pinjaman daripada bank sebelum ini.

Bagi Pembiayaan Mikro Kredit Penjana, beliau berkata, sejumlah RM391.9 juta telah disalurkan setakat 26 Februari dan memanfaatkan seramai 11,708 PKS mikro.

“Ini merupakan peningkatan sebanyak RM28.5 juta, manakala PKS mikro yang mendapat manfaat telah meningkat sebanyak 934,” katanya semasa membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-44 pada Khamis.

Tengku Zafrul berkata, Bumiputera Relief Financing (BRF) yang diperkenalkan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dengan dana RM200 juta menyaksikan 641 PKS menerima dana sebanyak RM182.8 juta setakat 26 Februari 2021.

Bagi Program Subsidi Upah (PSU) 1.0 pula, beliau berkata, sehingga 30 September 2020 iaitu tarikh tutup PSU 1.0, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat PSU di bawah Prihatin dan Penjana.

“Setakat 26 Februari, permohonan subsidi upah yang diluluskan mencapai nilai RM12.769 bilion.

“Program Subsidi Upah (PSU 2.0), setakat 26 Februari, sejumlah RM808.31 juta telah disalurkan kepada 66,591 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 554,876 pekerja,” katanya.

Menurutnya, Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan juga semakin menunjukkan hasil memberangsangkan.

“Setakat 26 Februari, seramai 131,568 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program ini berbanding 130,328 pada minggu sebelumnya.

“Antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuk pembuatan serta perdagangan borong dan runcit,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!