X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga dicekup ketika leka proses air ketum

Antara barangan yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Kasih Putera, Bahau pada pagi Rabu.
A
A

JEMPOL - Tiga lelaki ditahan polis ketika leka memproses air ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Kasih Putera, Bahau dekat sini pada pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, serbuan jam 11 pagi itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol.

Menurutnya, ketika serbuan, suspek berusia 19, 27 dan 34 tahun yang kesemuanya berasal dari Felda Lui Selatan sedang memproses air ketum di ruang dapur rumah tersebut.

"Dalam serbuan itu, polis turut menjumpai satu peket plastik berisi dadah berbahaya jenis syabu dan peralatan menghisap dadah di salah satu bilik tidur di rumah berkenaan.

"Polis merampas 225 bungkus plastik lut sinar cecair air ketum dengan anggaran isipadu 225 liter, lapan bungkus plastik warna hitam berisi daun ketum anggaran berat 45 Kilogram dan 144 botol ubat batuk.

"Turut dirampas beberapa alatan lain antaranya tong plastik, tong gas, dapur masak, periuk belanga, satu alat timbang dan tiga alat penapis melibatkan keseluruhan rampasan bernilai anggaran RM6,000," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Chang Hook berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek yang berusia 27 tahun positif dadah jenis methamphetamine dan seorang lagi mempunyai rekod lampau atas kesalahan dadah.

"Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga Ahad untuk siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, rumah berkenaan dijadikan sebagai transit dan mereka akan datang ke situ sekitar dua atau tiga bulan sekali sekiranya 'line clear'.

"Suspek menyewa rumah itu sejak dua tahun lalu dan air ketum ini dipercayai untuk pasaran di dalam kawasan Jempol," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Chang Hook berkata, seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan dalam Ops Khas Kesalahan Bunyi Bising semasa polis membuat rondaan di kawasan Felda Palong 4, 5 dan 6 pada jam 5.25 petang Rabu.

Menurutnya, suspek yang menunggang motosikal jenis RXZ didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan polis menjumpai dua peket plastik lut sinar pelbagai saiz berisi dadah jenis syabu anggaran berat keseluruhan 5.70 gram dan satu alat penimbang.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!