Serah pucuk pimpinan Pejuang tentu hala tuju parti

Mohd Shaid
Mohd Shaid
A
A
A

KUALA SELANGOR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan tertinggi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menentukan hala tuju parti itu pada masa depan.

Mohd Shaid berkata, sebagai penyokong Pejuang beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan parti membuat keputusan termasuk soal bekerjasama dengan mana-mana politik dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

"Apa yang kita sedia maklum, Pejuang akan menjadi satu blok bebas dan kita tidak diberi sebarang mandat untuk bekerjasama dengan mana-mana parti di Selangor," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas mengenai sokongan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram terhadap Pejuang, Mohd Shaid berkata, setakat ini pihaknya tidaklah ekstrim untuk mencari ahli dan sebagainya.

Bagaimanapun, katanya, Pejuang mampu menjadi wadah perjuangan sebuah parti berprinsip dan berkualiti yang diyakini menjadi pilihan rakyat untuk tempoh jangka masa panjang.

"Walaupun sukar hendak bawa pembaharuan dalam jangka masa pendek tetapi untuk jangka masa panjang, kita boleh membentuk sebuah parti bermaruah, selain mendidik dan membentuk ahli kita yang rasional dan menyokong perjuangan parti," katanya.

Katanya, kira-kira 90 peratus ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kuala Selangor sudah meninggalkan parti itu untuk menyokong kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Pada masa ini hanya tinggal sejumlah kecil ahli yang masih setia dengan Bersatu Bahagian Kuala Selangor, selebihnya mengikut saya meninggalkan parti ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU-14 lalu, Mohd Shaid memenangi kerusi DUN Jeram atas tiket Bersatu sebelum mengumumkan keluar Bersatu pada 8 Ogos tahun lalu.