X

Kindly register in order to view this article
!

Geng Wan Poca tumpas

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar menunjukkan beberapa bahagian motosikal yang telah dileraikan berhubung kes kegiatan curi dan lerai motosikal pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada Rabu. - Foto Bernama
A
A

SUNGAI BULOH - Polis menumpaskan sindiket curi motosikal dan pecah rumah Geng Wan Poca yang bergiat aktif di Selangor sejak awal tahun ini dalam beberapa serbuan di bawah Ops Lejang Khas selama dua minggu bermula 26 Februari hingga 3 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, empat lelaki dan seorang wanita yang berumur antara 16 dan 35 tahun ditahan dalam serbuan di tujuh lokasi di daerah Sungai Buloh dan Petaling Jaya itu termasuk ketua mereka, seorang lelaki berumur 24 tahun.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah motosikal, sembilan rangka motosikal dan satu bongkah enjin motosikal serta beberapa komponen motosikal yang lain dalam serbuan itu.

“Kesemua barang rampasan adalah dari motosikal yang pernah dilaporkan hilang di sekitar Sungai Buloh, Kuala Selangor serta Kepong dan nilai barang rampasan dianggarkan RM20,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.

Menurutnya, sindiket itu juga dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan polis turut merampas sebentuk cincin emas, seutas rantai tangan emas dua keping resit gadaian dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM5,000 dalam serbuan berkenaan.

"Modus operandi sindiket adalah menyasarkan motosikal jenis Yamaha LC135, RXZ serta Honda EX5 dan biasanya motosikal yang dicuri akan dileraikan bagi kegunaan sendiri atau dijual kepada pendatang asing dengan harga RM500 hingga RM1,000 mengikut jenis motosikal," katanya.

Shafa'aton berkata, empat suspek lelaki itu direman sehingga esok (Khamis) untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 'A' Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun yang sama, manakala isteri kepada ketua sindiket itu dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, ketua kumpulan itu mempunyai 16 rekod lampau berkaitan jenayah serta tiga rekod lampau membabitkan dadah dan pernah ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) sejak hujung tahun 2019.

Sementara itu dalam kes berasingan, 18 individu ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan penagihan dan pengedaran dadah di sekitar daerah ini dalam serbuan antara 21 Februari dan 7 Mac lepas.

Shafa'aton berkata, dalam serbuan itu polis merampas satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi dadah jenis ketamin seberat 1.7 kilogram, 35 peket plastik lutsinar dadah jenis syabu seberat 44 gram, serta pil erimin 5 seberat 70 gram, dan kesemua dadah itu dianggarkan bernilai RM101,215.

Katanya, hampir semua individu yang ditahan mempunyai rekod lampau melibatkan kesalahan dadah serta jenayah dan kesemua yang ditahan akan didakwa di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Racun 1952. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!