X

Kindly register in order to view this article
!

KSM kaji keperluan naik kadar caruman Perkeso

M Saravanan
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang mengkaji keperluan menaikkan kadar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) tanpa memberi bebanan kepada rakyat.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, kadar caruman itu tidak pernah dinaikkan sejak tahun 1971 iaitu pada tahun agensi itu ditubuhkan.

Saravanan berkata, pihaknya melihat bahawa permintaan kepada caruman telah meningkat dari semua sektor pekerjaan termasuk sektor tidak rasmi.

“Rakyat sudah mula sedar kebaikannya (caruman Perkeso) kerana mempunyai perlindungan keselamatan, saya percaya keadaan ini memerlukan kenaikan caruman sedikit tanpa membebankan rakyat...mungkin kami naikkan lagi RM1 atau RM2 untuk memperluaskan lagi perlindungan keselamatan.

“Dari tahun 1971 sehingga hari ini, sumbangannya sudah meningkat lebih 100 peratus tetapi kami tidak pernah menaikkan caruman dan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Perkeso merupakan satu-satu agensi telah menyumbang terlalu banyak untuk warga Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kolaborasi Strategik antara KSM dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) di sini pada Rabu.

Berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, caruman pekerja terbahagi kepada dua jenis iaitu bagi pekerja berumur kurang daripada 60 tahun, caruman yang kena dibayar majikan dan pekerja adalah untuk Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan dengan kadar caruman 1.75 peratus syer majikan dan 0.5 peratus syer pekerja mengikut gaji bulanan.

Bagi pekerja mencapai umur 69 tahun, kadar caruman hanya disyaratkan daripada syer majikan, iaitu sebanyak 1.25 peratus daripada gaji bulanan pekerja itu.

Mengulas lanjut, Saravanan menyeru rakyat Malaysia supaya mencarum di Perkeso kerana ia merupakan produk terbaik dalam negara bagi menjamin keselamatan pekerja.

Beliau berkata sehingga kini, lebih 2.72 juta pencarum telah menerima faedah Perkeso.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin; Ketua Setiausaha KSM, Datuk Jamil Rakon dan Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Ahmad.

Majlis itu menyaksikan pemeteraian tiga memorandum bertujuan menjalinkan kolaborasi strategik dalam pembangunan kapasiti golongan sasar khususnya golongan usahawan mikro dan informal.

Antara memorandum itu ialah MoU antara Perkeso dan Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTÉGÉ) dalam pemerkasaan dan perluasan program PROTÉGÉ, MoU antara Perkeso dan TEKUN Nasional dalam perlaksanaan program caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan.

Majlis turut menyaksikan kolaborasi strategik antara Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan Institut Keushawanan Negara (Insken) dalam memperkukuhkan dan meningkatkan kapasiti serta kemahiran usahawan melalui inisiatif pembangunan strategik.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata, sehingga kini sejumlah 93,000 usahawan telah diberi jaringan keselamatan sosial di bawah Perkeso.

Beliau berkata produk jaringan keselamatan sosial daripada pihak kerajaan menerusi Perkeso telah mencapai satu tahap membanggakan dan berharap para usahawan turut mempromosikannya serta menerima perkhidmatan itu bagi memastikan perlindungan diri terjamin. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!