Guna duit BPR beli dadah

Lelaki berusia 29 tahun yang ditahan di kediamannya sedang disoal siasat anggota AADK daerah Besut yang menyertai operasi terbabit. - Foto Ihsan AADK Daerah Besut
Lelaki berusia 29 tahun yang ditahan di kediamannya sedang disoal siasat anggota AADK daerah Besut yang menyertai operasi terbabit. - Foto Ihsan AADK Daerah Besut
A
A
A

BESUT- Seorang penagih pil kuda tegar mengaku sanggup mengikat perut untuk berjimat cermat menggunakan duit Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) diperoleh semata-mata hendak membeli dadah tersebut.

Lelaki bujang berusia 29 tahun itu membuat pengakuan berkenaan semasa disoal siasat selepas ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah Besut di rumahnya di Kampung Tasik Tok Lebai di sini, jam 4 pagi, pada Selasa.

Ketua Pegawai AADK Besut, Noor Hafizza Mat Zin berkata, selain itu, lelaki terbabit turut memaklumkan bahawa dia mula mengambil dadah tersebut sejak berusia 18 tahun dan mungkin disebabkan terlalu lama, dia menjadi ketagihan melampau.

Beliau berkata, disebabkan itulah lelaki itu mengaku sanggup lakukan apa sahaja termasuk ikat perut bagi memastikan dia tidak terputus bekalan barang terlarang itu.

"Ditambah pula kini dia menghidap penyakit asma kronik sehingga perlu bergantung kepada alat penyedut inhaler sepenuhnya.

"Disebabkan masalah kesihatan dihadapinya, dia tidak boleh bekerja tetapi pada masa sama memerlukan perbelanjaan untuk membeli bekalan bagi mengelak ketagihan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Menurut Noor Hafizza, dalam operasi di sekitar kawasan tersebut, tiga ditahan penagih kategori tegar termasuk lelaki berkenaan yang berusia antara 29 hingga 34 tahun.

"Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.

Artikel Berkaitan: