Jangan guna produk FS Tumeric Cream: KKM

Produk kosmetik, FS Tumeric Cream
Produk kosmetik, FS Tumeric Cream
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai agar tidak membeli dan menggunakan produk kosmetik, FS Tumeric Cream kerana dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui kenyataan pada Rabu berkata, produk berkenaan mengandungi bahan-bahan yang boleh menyebabkan kesan sampingan jika tiada pengawasan profesional kesihatan.

Menurutnya, salah satu bahan produk tersebut, Betamethasone 17-Valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PKBD) dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

“Betamethasone 17-Valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.

“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, notifikasi produk tersebut telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Jelasnya, penjualan dan pengedaran produk berkenaan adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Artikel Berkaitan:

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” ujarnya.

Justeru katanya, orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.