BAeK PTPTN: Pelaburan mengubah masa depan anak eKasih

BAeK PTPTN menjadi bantuan bermakna kepada mahasiswa seperti Nur Farhana (gambar kanan) dan Muhammad Khairil Amir dalam menampung keperluan sepanjang pengajian, sekali gus mengurangkan beban keluarga masing-masing.
BAeK PTPTN menjadi bantuan bermakna kepada mahasiswa seperti Nur Farhana (gambar kanan) dan Muhammad Khairil Amir dalam menampung keperluan sepanjang pengajian, sekali gus mengurangkan beban keluarga masing-masing.
A
A
A

SHAH ALAM – Kos sara hidup dan keperluan pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) menjadi antara cabaran dihadapi mahasiswa daripada keluarga kurang berkemampuan, khususnya dalam memastikan pengajian dapat diteruskan tanpa kekangan kewangan.

Menyedari cabaran itu, Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN) menjadi bantuan bermakna kepada mahasiswa seperti Nur Farhana Bisminoor dan Muhammad Khairil Amir Zahrul dalam menampung keperluan sepanjang pengajian, sekali gus mengurangkan beban keluarga masing-masing.

Bagi Nur Farhana,19, bantuan berkenaan amat bermakna memandangkan keluarganya hanya bergantung kepada pendapatan bapa sekitar RM1,500 sebulan.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, ibunya merupakan suri rumah, manakala beliau mempunyai empat adik-beradik lain yang turut menjadi tanggungan keluarga.

Menurutnya, pemilihan sebagai penerima BAeK PTPTN memberikan kelegaan kepada ibu bapanya kerana dapat mengurangkan beban kewangan dalam menampung perbelanjaan pengajian.

"Biasiswa ini sangat bermakna kerana dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga, terutamanya ayah saya yang merupakan satu-satunya pencari nafkah.

"Saya juga berasa lega kerana bantuan ini dapat mengurangkan sedikit tanggungan ibu bapa dalam menampung perbelanjaan pengajian saya," katanya kepada Sinar Harian.

Nur Farhana yang mengikuti pengajian Diploma Pengurusan Hotel dan Pelancongan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Alor Gajah, Melaka berkata, bantuan itu membolehkannya memberikan lebih tumpuan kepada pelajaran tanpa terlalu memikirkan masalah kewangan.

Beliau berkata, wang biasiswa itu boleh digunakan untuk menampung keperluan harian, pengangkutan dan pembelajaran sepanjang berada di universiti.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Muhammad Khairil Amir Zahrul berkata, biasiswa berkenaan turut memberikan kelegaan kepada keluarganya yang bergantung kepada pendapatan bapa sebagai penoreh getah.

Ujar anak sulung daripada tiga beradik itu, ibunya merupakan suri rumah dan bantuan tersebut amat bermakna kerana ibu bapanya masih perlu menanggung perbelanjaan persekolahan adiknya.

Menurutnya, peluang menerima biasiswa itu membolehkannya meneruskan pengajian Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) di UiTM Kampus Alor Gajah dengan lebih fokus tanpa terlalu memikirkan masalah kewangan.

"Biasiswa ini sedikit sebanyak mengurangkan beban saya dan keluarga. Ia amat bermakna kerana saya masih mempunyai adik yang bersekolah dan bantuan ini dapat meringankan beban ibu bapa.

"Pada pandangan saya, biasiswa ini mampu membuatkan pelajar kurang memikirkan masalah kewangan sekali gus membolehkan kami lebih fokus ketika meneruskan pengajian," katanya.

Khairil Amir berkata, beliau menyasarkan untuk mengambil kelayakan profesional Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) selepas menamatkan pengajian sebelum membina kerjaya di salah sebuah firma perakaunan Big Four.

"Pesanan untuk pelajar lain yang kurang berkemampuan seperti saya, jangan putus asa untuk menjadi seseorang yang boleh mengubah kehidupan keluarga kita. Kita hanya gagal apabila tidak mencuba dan jika bukan kita, siapa lagi yang mampu mengubah nasib keluarga kita.

"Saya bersyukur kerana terpilih sebagai penerima BAeK PTPTN. Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga, malah memberi semangat kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh dan mencapai cita-cita.

"Terima kasih kepada kerajaan dan PTPTN kerana membuka peluang kepada pelajar seperti saya untuk melanjutkan pengajian tanpa dibebani hutang," jelasnya.

BAeK PTPTN merupakan inisiatif khas bagi membantu pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar melanjutkan pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Melalui inisiatif ini, pinjaman PTPTN diberikan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih dan mengikuti pengajian peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda secara sepenuh masa di IPTA yang diluluskan pinjaman PTPTN mulai 1 Januari 2026.

Inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan tiada pelajar yang layak tercicir daripada melanjutkan pengajian ke IPTA disebabkan kekangan kewangan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!