Moyes kecewa walaupun West Ham menang

Moyes
Moyes
A
A
A

BIARPUN menghampiri kedudukan empat pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) hasil kemenangan 2-0 menewaskan Leeds United semalam, pengendali West Ham, David Moyes tetap kecewa dengan aksi kesebelasan pemainnya.

Menurut Moyes, kesebelasan The Hammers dilihat masih gagal mempamerkan aksi terbaik masing-masing pada perlawanan berkenaan.

Malah kataya, jika dua gol jaringan pemain Leeds United disahkan pengadil, sudah pasti kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati apabila hanya meraih satu mata.

“Saya akui, pasukan saya tidak beraksi dengan baik secara keseluruhannya berdasarkan kepada standard pasukan kami dan pemain juga kecewa dengan keadaan ini.

“Kami berjaya mengawal permainan tetapi ia hanya seketika dan kami langsung tidak berpuas hati dengannya.

“Leeds pula dilihat beraksi dengan baik hingga menyukarkan kami untuk mengharungi perlawanan ini,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Jesse Lingard menjaringkan gol pada minit ke-21 manakala Craig Dawson menjaringkan gol kedua yang juga gol kemenangan buat The Hammers pada minit ke-28.

Kemenangan itu menyaksikan The Hammers kini berada pada kedudukan kelima EPL dengan 48 mata, hasil 14 kemenangan, enam seri dan tewas tujuh kali daripada 27 perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Moyes menegaskan skuad kendaliannya itu kini sedang mengharungi musim terbaik mereka dalam saingan EPL dan berharap ia berterusan selepas ini.

“Walaupun tidak gembira dengan kemenangan menewaskan Leeds, tetapi bagi saya, kami sedang melalui musim yang baik dan mungkin juga menjadi musim yang terbaik.

“Saya tidak kata bahawa kami akan menamatkan saingan dalam kelompok empat pasukan teratas EPL, tetapi kami akan terus berusaha sehingga ke penghujungnya,” katanya.