Google Doodle rai Dr Wu Lien Teh, lelaki di sebalik pelitup muka

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Enjin carian Google Doodle pada Rabu memaparkan ahli epidemiologi Cina-Malaysia, mendiang Dr Wu Lien Teh yang dikenali sebagai pencipta pelitup muka pembedahan jenis N95.

Google Doodle memberi penghormatan kepada Dr Wu bersempena hari lahir tokoh berkenaan yang ke-142.

Menurut Google, selepas mengikuti pengajian kedoktorannya, Dr Wu dilantik sebagai Timbalan Pengarah Imperial Army Medical College di China pada tahun 1908.

"Ketika wabak yang tidak dikenal pasti menular di barat laut China pada tahun 1910, kerajaan China melantik Dr Wu untuk menjalankan penyelidikan berhubung penyakit itu, yang dikenal pasti olehnya sebagai wabak pneumonia, penyakit berjangkit yang tersebar daripada manusia ke manusia melalui pernafasan.

"Untuk memerangi penyakit itu, Dr Wu mereka dan menghasilkan pelitup muka pembedahan khas dengan kapas dan kain kasa, serta menambahkan beberapa lapisan kain untuk menapis penyedutan," menurut Google.

Dr Wu kemudian menasihati orang ramai supaya memakai pelitup muka yang baharu dicipta itu dan bekerjasama dengan pegawai kerajaan untuk menubuhkan stesen dan hospital kuarantin, mengadakan sekatan perjalanan serta menerapkan teknik pensterilan progresif.

Usaha Dr Wu telah memberi impak besar dalam mengakhiri pandemik itu yang dikenali sebagai Manchuria pada April 1911, hanya dalam tempoh empat bulan selepas Dr Wu ditugaskan untuk mengawal penularan wabak itu.

Turut dinyatakan bahawa Dr Wu yang merupakan anak kelahiran Pulau Pinang adalah pelajar pertama keturunan Cina yang memperoleh MD dari Universiti Cambridge.

Artikel Berkaitan:

"Pada tahun 1915, Dr Wu mengasaskan Persatuan Perubatan Cina, sebuah organisasi perubatan bukan kerajaan terbesar dan tertua di negara ini. Pada 1935, beliau merupakan rakyat Malaysia pertama - dan individu pertama keturunan Cina - dicalonkan untuk Hadiah Nobel dalam Fisiologi atau Perubatan kerana jasanya mengawal wabak pneumonia.

"Seorang pendukung yang setia dan pengamal kemajuan perubatan, usaha Dr Wu bukan hanya mengubah kesihatan awam di China tetapi juga di seluruh dunia. Selamat hari lahir kepada lelaki di sebalik pelitup muka, Dr. Wu Lien-Teh! " menurut Google. - Bernama