Belanjawan 2027 peluang kerajaan betulkan keadaan - Suara Rakyat

SHAH ALAM - Belanjawan 2027 perlu menjadi peluang untuk kerajaan membetulkan keadaan dengan memastikan dasar dan peruntukan yang diumumkan benar-benar membantu mengurangkan beban rakyat, khususnya golongan B40, M40, pesara dan peniaga kecil.
Naib Pengerusi Sekretariat Gerakan Suara Rakyat Malaysia Sejahtera (Suara Rakyat), Datuk Seri Dr Amir Hussien berkata, kerajaan perlu memastikan tiada cukai baharu atau peluasan cukai yang akhirnya menambah beban B40, M40, pesara dan peniaga kecil.
Menurutnya, sebelum meminta rakyat membayar lebih, kerajaan perlu membuktikan bahawa ketirisan, pembaziran dan pertindihan program sudah dikurangkan.
"Kerajaan tidak seharusnya melihat belanjawan sebagai acara tahunan untuk mengumumkan jumlah peruntukan yang besar. Rakyat mahu tahu bagaimana wang tersebut akan mengubah kehidupan mereka.
"Pendapatan rakyat mesti menjadi keutamaan. Bantuan tunai masih diperlukan oleh keluarga yang terdesak. Namun, rakyat tidak mahu bergantung kepada bantuan sepanjang hidup.
"Mereka mahu pekerjaan yang stabil, gaji yang adil dan peluang untuk membina kehidupan melalui usaha sendiri," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Amir menambah, insentif kepada pelabur mesti mempunyai syarat jelas bagi memastikan pelaburan dibawa masuk memberi manfaat kepada rakyat dan syarikat tempatan.
Menurutnya, pelaburan perlu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan, menawarkan gaji munasabah, menyediakan latihan kepada pekerja serta memberi ruang kepada syarikat tempatan dalam rantaian bekalan dan perkhidmatan.
Beliau menambah, kerajaan juga perlu menangani harga makanan secara menyeluruh kerana jualan murah hanya membantu untuk tempoh tertentu.
"Pengeluaran makanan tempatan, rantaian bekalan, penyimpanan, logistik dan kebergantungan kepada import mesti diperbaiki," katanya.
Amir berkata, pelaksanaan subsidi bersasar diharapkan tidak akan menyebabkan rakyat yang layak tercicir, sekali gus proses rayuan perlulah mudah dan cepat.
"Jangan hukum rakyat kerana maklumat dalam sistem kerajaan tidak lengkap. Kesihatan dan pendidikan memerlukan perhatian yang serius," ujar beliau lagi.
Menurutnya, Sabah, Sarawak, Labuan dan kawasan pedalaman juga perlu menerima perhatian yang adil memandangkan bekalan air, elektrik, jalan raya, internet dan pengangkutan adalah keperluan asas.
Beliau turut mengingatkan, setiap projek mesti mempunyai tarikh mula, tarikh siap dan pihak yang bertanggungjawab.
"Jangan umumkan projek yang sama berulang kali tanpa perkembangan yang jelas," katanya.
Dalam masa sama, Amir berkata, perusahaan kecil turut memerlukan ruang untuk bernafas kerana kos sewa, utiliti, gaji, bahan mentah dan pematuhan semakin tinggi.
"Urusan mereka perlu dipermudah. Jangan tambah peraturan sehingga perniagaan kecil semakin sukar untuk bertahan," katanya.
Justeru, beliau berpandangan, setiap peruntukan besar dalam Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada 9 Oktober mestilah mempunyai sasaran, jadual pelaksanaan dan laporan kemajuan boleh diperiksa rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

