Gaji minimum: Jangan umum angka sebelum Kabinet putus - Ramanan

KOTA BHARU - Sebarang angka baharu kadar gaji minimum termasuk RM2,000, RM2,100 atau RM2,200 tidak boleh diumumkan selagi belum mendapat persetujuan Kabinet dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, kertas pertimbangan dan memorandum Jemaah Menteri berkaitan kadar gaji minimum baharu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet akan datang untuk mendapatkan persetujuan.
Menurut beliau, keputusan berhubung kadar baharu itu masih belum dibuat dan sebarang angka yang tersebar sebelum ini bukan keputusan kerajaan.
"Saya tak tahu dari mana pihak-pihak yang luar tu dapat angka gaji minimum naik, gaji minimum RM2,000, RM2,100, RM2,200. Jadi kita tak boleh nak umum apa-apa tanpa kebenaran atau persetujuan Kabinet dan pertama sekali pandangan dan persetujuan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri," katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.
Sebelum itu beliau dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) yang membawa gelaran Datuk sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang ke-57 di Istana Balai Besar di sini.
Terdahulu media melaporkan, kadar gaji minimum sebanyak RM1,700 dijangka akan dinaikkan dan perinciannya akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini.
Menurut Anwar, semakan dan kajian bagi pelarisan gaji minimum kini berada pada peringkat akhir sebelum diumumkan dalam pembentangan belanjawan di Dewan Rakyat.
Menurut Ramanan, beliau sendiri mahu melihat gaji minimum dinaikkan sebanyak yang boleh, namun keputusan berkenaan perlu mengambil kira formula serta kajian impak terhadap ekonomi.
Jelasnya, proses menentukan kadar gaji minimum membabitkan kumpulan besar terdiri daripada profesor, pemegang PhD dan Profesor Emeritus, selain kajian khas.
"Ada kajian yang dibuat...kalau naik RM10 pun ada kesan. Kena faham apa kesan itu.
"Kita boleh naik gaji minimum sebanyak ini tanpa ada kesan kepada ekonomi," katanya.
Ramanan memberitahu, kerajaan juga perlu memastikan kenaikan gaji tidak membawa kepada peningkatan inflasi yang akhirnya menjejaskan manfaat kenaikan pendapatan pekerja.
"Kita pun nak kawal inflasi. Naik tinggi-tinggi tapi inflasi pun naik tinggi-tinggi, jadi apa perbezaannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

