‘Pengkhianat’ PH perlu buktikan keabsahan

Dr Mahathir dan Khalid.
Dr Mahathir dan Khalid.
A
A
A

[LAPORAN KHAS] EPISOD keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) setelah mentadbir negara selama 22 bulan kini terpahat sebagai satu memori hitam dalam kalangan pemimpin PH sendiri.

Setelah lebih 60 tahun pembangkang berjuang, mereka akhirnya berjaya mengambil alih Putrajaya daripada tangan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Kejayaan PH dipimpin bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018 pastinya dianggap sebagai pencapaian terbaik blok pembangkang setakat ini.

Kemenangan blok pembangkang itu juga dibayar dengan harga mahal apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP diterajui Lim Kit Siang terpaksa merelakan pemilihan Dr Mahathir selaku bekas musuh ketat mereka untuk ditabalkan sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Pada peringkat awal pentadbiran PH, segalanya berjalan baik dengan pelbagai langkah pragmatik diambil kerajaan bagi merealisasikan pentadbiran bebas rasuah, penuh berintegriti dan tiada penyelewengan wang rakyat.

Bagaimanapun, masalah pentadbiran kerajaan PH timbul satu demi satu, bermula dengan isu-isu menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu dan Islam seperti ratifikasi Perjanjian Statut Rom, kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, pengenalan tulisan Jawi sehinggalah isu perebutan jawatan Perdana Menteri antara Dr Mahathir dan Anwar.

Kemuncaknya, kerajaan PH akhirnya tumbang selepas Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dengan sebuah kerajaan baharu diterajui Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin ditubuhkan pada 1 Mac 2020.

Artikel Berkaitan:

Detik genting kem PH selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan parti Bersatu menarik diri daripada gabungan PH.
Detik genting kem PH selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan parti Bersatu menarik diri daripada gabungan PH.

Bagi Dr Mahathir yang kini mengasaskan Parti Pejuang Tanahairku (Pejuang), faktor utama menyebabkan tumbangnya kerajaan PH adalah disebabkan gerakan menjatuhkan kerajaan diusahakan beberapa pemimpin Bersatu sendiri.

Dakwa beliau, pemimpin Bersatu yang aktif merencanakan gerakan itu ialah Muhyiddin sendiri, dibantu oleh Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Itulah yang berlaku dalam PH sehingga menyebabkan kerajaan kami jatuh,” dakwanya mengimbau sejarah luka setahun lalu kepada Sinar Harian.

Pandangan sama turut dikongsi Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad. Beliau menegaskan meskipun Dr Mahathir melakukan kesilapan besar dengan meletakkan jawatan Perdana Menteri tanpa berunding terlebih dahulu, kerajaan PH tetap akan jatuh sebaik sahaja Muhyiddin dan Mohamed Azmin berpaling tadah.

“Dr Mahathir letak jawatan Perdana Menteri, meskipun diakui satu kesilapan besar, masih tidak membawa kepada kejatuhan kerajaan PH.

“Sebaliknya, keputusan Muhyiddin dan Mohamed Azmin yang menjadi membawa lari 30 ahli Parlimen daripada PH menjadi punca utama kejatuhan kerajaan,” katanya.

Mengulas mengenai pentadbiran kerajaan PH selama 22 bulan, Khalid mengakui pihaknya kecewa dengan kegagalan kerajaan PH merealisasikan sebahagian besar pelan reformasi pentadbiran negara yang telah dirancang.

Menurutnya, kerajaan PH telah meletakkan asas pentadbiran negara yang lebih bersih dan telus dengan setiap agenda perancangan kerajaan telah disediakan bagi tempoh lima tahun atau satu penggal pentadbiran.

“Kita telah melakukan rundingan semula sebahagian projek ditandatangani dengan syarikat pemaju oleh kerajaan terdahulu bagi memastikan nilai rundingan lebih adil dan munasabah.

"Namun amat mendukacitakan kerana proses pembersihan yang hendak dilakukan terjejas dek tindakan golongan pengkhianat,” katanya.

Prestasi PN

Menilai setahun pentadbiran kerajaan PN dari kaca mata pembangkang, Tun Mahathir menyifatkan Perdana Menteri kelapan itu gagal merealisasikan banyak perkara penting.

Jelas beliau, kegagalan kerajaan PN itu disebabkan Muhyiddin tidak memiliki barisan penasihat profesional seperti doktor-doktor pakar yang berpengalaman.

“Cuma ada seorang doktor sahaja (Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) tetapi idea daripada satu orang sahaja tidak sama dengan idea 10 orang,” katanya.

Merujuk persoalan serupa, Khalid sebaliknya berpandangan kerajaan PN sekarang ini langsung tidak melakukan apa-apa dengan pencapaian ‘terbaik’ mereka hanyalah melaksanakan proklamasi darurat.

Ahli Parlimen Shah Alam itu yakin rakyat sudah menilai bahawa segala teguran, kritikan, cemuhan yang dilemparkan pemimpin PN terhadap kerajaan PH sebelum ini, hanyalah mainan politik semata-mata.

“PN akhirnya tidak melakukan apa-apa terhadap segala isu ditonjolkan mereka. Baik isu RUU 355, kes kematian Allahyarham Adib, pengenalan tulisan jawi, masih tiada sebarang penyelesaian dikemukakan mereka.

“Saya yakin pada PRU15 kelak, sebarang isu kaum dan agama cuba dibawa PN dan BN tidak akan laku. Ini kerana mereka sudah memerintah dan rakyat sudah menilai sejauh mana mereka benar-benar memperjuangkan isu berkenaan,” katanya.

Memandangkan Majlis Raja-Raja Melayu sudah menitahkan kebenaran Dewan Rakyat kembali bersidang pada tempoh darurat, Khalid menegaskan aspek penentuan keabsahan sokongan ahli Parlimen terhadap Muhyiddin perlu dijadikan agenda utama persidangan Parlimen kelak.

Jelasnya, hal ini kerana segala urusan persidangan Parlimen adalah bergantung kepada pengesahan kedudukan Perdana Menteri.

“Sekiranya beliau terbukti tiada keabsahan, maka segala usul dibahaskan dalam sidang Parlimen adalah tidak sah,” katanya.

Khalid bagaimanapun menolak cadangan pelaksanaan PRU15 diadakan sebaik sahaja Muhyiddin terbukti tiada keabsahan sokongan ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri kelak.

“Ini disebabkan negara masih dilanda pandemik Covid-19 dan sekiranya PRU15 diadakan pada ketika ini, tiada sesiapa boleh jamin kestabilan politik bakal tercapai.

“Maka adalah sebaiknya kerajaan PN digantikan dengan kerajaan campuran yang memiliki sokongan majoriti tidak kurang 120 ahli Parlimen, dengan angka sokongan perlu diusahakan melalui parti-parti daripada blok kerajaan atau pembangkang yang bersedia berunding dan sepakat,” katanya.