Setahun PN yang penuh dugaan

Muhyiddin dalam lukisan karikatur.
Muhyiddin dalam lukisan karikatur.
A
A
A

[LAPORAN KHAS] MENYINGKAP setahun pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN), pastinya 32 juta rakyat Malaysia tidak dapat melupakan saat genting pentadbiran negara pada Februari tahun lalu.

Ketegangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam krisis besar perebutan jawatan Perdana Menteri antara penyandangnya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berakhir dengan tragedi tumbangnya sebuah kerajaan pilihan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Maka catur politik ketika itu beralih tangan kepada 222 ahli Parlimen Malaysia. Pada penghujung Februari tahun lalu, berduyun-duyun ahli Parlimen keluar masuk Istana Negara apabila kemelut menubuhkan kerajaan terpaksa dimuktamadkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Dan akhirnya, selepas Februari yang penuh drama politik, tirai bulan Mac 2020 dibuka dengan sinar baharu apabila Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah di depan Al-Sultan Abdullah selepas beliau mendapat majoriti sokongan ahli Parlimen.

Debaran menanti pengumuman Perdana Menteri kelapan oleh pihak Istana Negara.
Debaran menanti pengumuman Perdana Menteri kelapan oleh pihak Istana Negara.

Sembilan hari kemudian, pada tanggal 10 Mac 2020, lengkaplah sebuah kerajaan PN yang bertunjangkan 31 Menteri dan 38 Timbalan Menteri. Di bawah payung PN terdiri daripada parti Bersatu, UMNO, Pas, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah (GBS).

Namun, perjalanan kerajaan PN ditadbir Muhyiddin pasca kerajaan PH, bukanlah semudah yang disangka. Pelantikan tersebut bukanlah satu berita gembira yang dapat dirayakan secara besar-besaran. Ini kerana di depan kerajaan PN terbentang ranjau politik dan krisis kesihatan yang tidak pernah dibayangkan oleh sesiapa di dunia.

Selain Bersatu terbelah dua selepas Dr Mahathir digugurkan daripada parti logo bunga raya itu, gelombang Covid-19 menyaksikan kerajaan terpaksa membuat saringan besar-besaran di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Malah ekonomi negara 'mati' apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara. PKP pertama bermula 18 Mac 2020 itu menyebabkan negara kerugian RM2.4 bilion sehari.

Jemaah menteri kerajaan PN terdiri daripada parti Bersatu, UMNO, Pas, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah (GBS).
Jemaah menteri kerajaan PN terdiri daripada parti Bersatu, UMNO, Pas, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah (GBS).

Hakikat itu diakui sendiri Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyifatkan cabaran mendepani impak Covid-19, sama ada dari aspek kesihatan dan ekonomi menjadi tumpuan utama kerajaan PN selepas dua minggu kerajaan dibentuk.

"Cabaran itu sangat besar bagi sebuah kerajaan baru, namun semua pihak perlu mengakui kerajaan PN berjaya mengawal pandemik Covid-19 berbanding negara lain.

"Dari aspek kebajikan rakyat, melalui pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), kita berjaya membantu rakyat meneruskan kehidupan walaupun PKP dikenakan terhadap mereka," ujarnya.

Ismail Sabri
Ismail Sabri

Jelas Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, pencapaian terbaik kerajaan PN dalam mengawal impak Covid-19 adalah melalui kejayaan memastikan negara terus berada dalam keadaan aman, meskipun pandemik itu mencetuskan banyak rusuhan di luar negara.

"Paling penting, penularan kes jangkitan Covid-19 berjaya dilandaikan pada saat kerajaan PN memastikan pelbagai suntikan dana dan bantuan kepada rakyat memerlukan dilaksanakan dengan jayanya," katanya.

Elak PRU

Dalam pada itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan langkah PN mengambil alih kerajaan daripada tangan PH adalah semata-mata bagi mengelakkan rakyat terpaksa mengharungi PRU pada saat pandemik Covid-19 mula memuncak.

"Bagi saya, sepanjang setahun kerajaan PN mentadbir, kita berjaya mencatatkan prestasi membanggakan dengan sumber yang ada meskipun tidaklah sampai tahap terbaik.

"Tahniah diucapkan kepada Tan Sri Muhyiddin yang berjaya mengharungi bahtera kerajaan PN dengan cemerlang walaupun pelbagai tohmahan dilemparkan kepadanya," kata Tuan Ibrahim.

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim

Mengulas prestasi kepimpinan Muhyiddin atau lebih dikenali 'Abah' sehingga kini, Tuan Ibrahim menjelaskan, Presiden Bersatu itu sentiasa menggesa anggota Kabinet fokus kepada gerak kerja bantu rakyat, hapuskan elemen rasuah, penyelewengan dana dan salah guna kuasa.

"Kita berjaya membentuk integriti dalam kepimpinan sama ada di peringkat Kabinet dan pegawai kerajaan terutama dalam aspek nilai kebersamaan dalam menguruskan sesuatu isu," katanya.

Di sebalik kejayaan kerajaan PN menstabilkan negara, Timbalan Presiden Pas itu mengakui bimbang koalisi penyatuan UMNO-Bersatu-Pas yang membentuk kerajaan Melayu dan Islam gagal dipertahankan pada PRU15.

"Cuma saya risau bila keadaan politik sudah tenang, masing-masing (parti-parti Melayu) sudah berasa senang dan mula bercakaran sesama sendiri.

"Pepatah Arab ada mengatakan 'Bila kita tiada musuh, kita akan berlawan sesama sendiri'. Harapan Pas adalah memastikan pertembungan satu lawan satu dengan agenda mengekalkan penyatuan Melayu dan Islam dipertahankan sehingga PRU15," katanya.

Pemimpin utama kerajaan PN terdiri daripada Bersatu, BN, Pas, GPS dan GBS berkumpul di kediaman Muhyiddin sewaktu pengumuman Perdana Menteri kelapan pada hujung Februari lalu.
Pemimpin utama kerajaan PN terdiri daripada Bersatu, BN, Pas, GPS dan GBS berkumpul di kediaman Muhyiddin sewaktu pengumuman Perdana Menteri kelapan pada hujung Februari lalu.

Sentimen Tuan Ibrahim diakui Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, yang mendedahkan cabaran krisis politik dihadapi kerajaan PN kini sebenarnya adalah lebih meruncing berbanding pandemik.

Tatkala kerajaan PN terus berdepan dakwaan tiada keabsahan sokongan ahli Parlimen, tidak stabil dan wajib dibubarkan, sifat tenang Abah dalam menangani setiap krisis berlaku adalah pemangkin kestabilan kerajaan sedia ada.

"Abah letak keutamaan kepada negara, keutamaan nyawa dan kehidupan rakyat.

"Ini yang patut diselesaikan ketika ini, bukan melayan politiking tidak berkesudahan. Ada yang tanya mana angka (sokongan ahli Parlimen kepada Abah). Sepatutnya tidak perlu takutkan rakyat, rosakkan pentadbiran yang tengah perang dengan Covid-19," katanya.

Ahli Parlimen daripada Bersatu itu turut meluahkan keyakinan rakyat akan lebih bijak mengekalkan kepimpinan kerajaan PN pada PRU15 kerana Abah terbukti sudah melakukan tugas terbaik menjaga kebajikan rakyat.

"Bagi saya kerajaan ini (PN) bagus, kementerian sedia ada juga bagus, mempunyai pasukan sangat hebat dan sentiasa bekerja kuat. Kita patut teruskan.

"Sebab itu saya percaya kerajaan PN bukan sahaja akan sambut ulang tahun pertama pada 10 Mac ini, bahkan akan meneruskan sambutan itu pada tahun-tahun berikutnya," katanya.