Pelajar terperdaya tawaran RM80,000 jual syiling lama

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Damansara kerugian RM5,250 selepas diperdaya seorang warga asing yang kononnya sanggup membayar harga yang tinggi untuk membeli syiling lama miliknya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek menawarkan RM80,000 untuk lapan keping wang syiling lama milik mangsa.

Beliau berkata, suspek menghubungi mangsa yang berusia 18 tahun menerusi akaun laman sosial sebelum meneruskan urusan jual beli menggunakan nombor telefon antarabangsa.

“Suspek mendakwa membuat pembayaran ke dalam akaun mangsa selepas melihat gambar syiling lama itu tetapi wang tersebut disekat untuk pengeluaran.

Mangsa kemudiannya diarahkan untuk memasukkan wang caj transaksi ke dalam akaun dimiliki seorang lelaki tempatan yang dipercayai keldai akaun dan telah melakukan tujuh transaksi ke dalam akaun sama,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Nik Ezanee berkata, mangsa membuat laporan pada 1 Mac lepas selepas menyedari ditipu apabila suspek tidak pernah mengarahkannya untuk menghantar syiling lama tersebut walaupun kononnya pembayaran telah dibuat.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam urusan jual beli apa jua barang supaya tidak mudah ditipu dengan pelbagai muslihat licik penjenayah. Tiada urus niaga mudah dalam talian yang boleh membawa keuntungan yang berlipat kali ganda,” katanya.

Dalam perkembangan kes berasingan, seorang pakar kecantikan di sebuah pusat kecantikan yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk hingga merempuh sekatan jalan raya di laluan keluar plaza tol Damansara ditahan polis, awal pagi Selasa.

Artikel Berkaitan:

Nik Ezanee berkata, dalam kejadian kira-kira 1.05 pagi itu, kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier yang dipandu wanita berusia 32 tahun itu merempuh peralatan sekatan jalan raya ketika sepasukan anggota sedang bertugas.

“Ujian pernafasan alkohol mendapati wanita itu berada di bawah pengaruh alkohol melebihi daripada had yang telah ditetapkan.

Suspek diberi jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - Bernama