Perak sedia beri tanah bina MRSM, sekolah sains

Saarani (tengah) ketika hadir ke Majlis Executive Talk Menteri Besar Perak bersama Warga Pendidik daerah Kerian di Dewan Kerian Permai, Parit Buntar pada Selasa.
Saarani (tengah) ketika hadir ke Majlis Executive Talk Menteri Besar Perak bersama Warga Pendidik daerah Kerian di Dewan Kerian Permai, Parit Buntar pada Selasa.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Kerajaan Perak sedia memperuntukkan tanah untuk membina Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Menengah Sains di negeri ini bagi menampung permintaan dan pertambahan pelajar.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri telah menerima banyak permohonan terutama dari daerah-daerah yang tidak mempunyai kemudahan sekolah berkenaan antaranya di Manjung dan Kerian.

"Sebenarnya kita mengalu-alukan pembinaan sekolah sedemikian, tetapi dari segi peruntukan ia adalah daripada kerajaan Persekutuan dan di peringkat negeri kita bersedia menyediakan tapak dan tanah bagi tujuan berkenaan.

"Jika ada peruntukan bagi tujuan itu, Insya-ALLAH kita tidak ada masalah untuk sediakan tapak," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Executive Talk Menteri Besar Perak bersama Warga Pendidik daerah Kerian di Dewan Kerian Permai, di sini pada Selasa.

Saarani berkata, sebelum ini kerajaan negeri telah mengusahakan cadangan membina MRSM di Manjung dan Bagan Datuk, namun belum terlaksana.

Katanya, ia termasuklah permintaan di daerah Kerian yang langsung tidak mempunyai Sekolah Berasrama Penuh, sekolah premier atau MRSM sedangkan telah menunjukkan kecemerlangan pencapaian akademik terutama dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Permintaan memang tinggi kerana pada ketika ini semakin ramai pelajar yang cerdik pandai, kita akan cuba usahakan nanti," katanya.

Majlis sempena Program Menteri Besar bersama Rakyat (Mesra) di daerah Kerian itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud dan Pengarah Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali.

Artikel Berkaitan:

Daerah Kerian menjadi lokasi pertama program Mesra yang berlangsung selama tiga hari sehingga Khamis, berkonsepkan turun padang dan mendekati rakyat sejajar dengan pentadbiran kerajaan baharu di bawah pimpinan Saarani.