Blok tambahan HTAN dijangka siap 2024

Eddin Syazlee (duduk, dua kanan) ketika merasmikan projek berkenaan pada Selasa.
Eddin Syazlee (duduk, dua kanan) ketika merasmikan projek berkenaan pada Selasa.
A
A
A

KUALA PILAH - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM139.35 juta bagi projek blok tambahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini melibatkan tanah berkeluasan 1.7 hektar.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, kerja-kerja pembinaan akan bermula pada Rabu dan dijadualkan siap pada Ogos 2024.

"Pembinaan bangunan tambahan ini memuatkan 144 katil pesakit dan akan menjadikan jumlah keseluruhan katil bagi di HTAN berkapasiti 458 katil.

"Komponen bagi projek ini melibatkan pembinaan blok bangunan utama enam tingkat yang merangkumi pelbagai jabatan dan kemudahan bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan bertaraf tinggi kepada rakyat khususnya di kawasan Kuala Pilah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas selesai Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan pecah tanah projek blok tambahan HTAN pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang.

Mengulas lanjut, Eddin Syazlee berkata, selain itu, pembinaan bangunan tambahan terbabit akan memberi penambahbaikan sebagai hospital pakar residen yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan sekunder di sekitar daerah Kuala Pilah, Jempol, Jelebu dan Tampin serta kawasan bersempadan dengan negeri Pahang.

"Kerajaan Persekutuan sedar akan masalah yang dihadapi di HTAN, justeru projek ini adalah bukti komitmen kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Selain memberi manfaat berganda kepada peningkatan taraf kesihatan penduduk setempat khususnya kawasan Kuala Pilah supaya dapat menerima kemudahan kesihatan yang kondusif dalam suasana moden dan selesa," katanya.

Mengulas lanjut, Eddin Syazlee berkata, projek bangunan tambahan tersebut akan dibina dengan menggunakan kaedah sistem binaan berindustri (IBS) secara sistematik sekali gus mampu mengurangkan pembaziran.

"Penggunaan binaan struktur yang direka bentuk menggunakan dimensi koordinasi modular telah terbukti dapat mempercepatkan proses pembinaan sesuatu projek. Skor IBS yang telah ditetapkan bagi projek ini adalah 70 peratus," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, kerajaan memperuntukkan RM140 bagi menaiktaraf Hospital Port Dickson dan lebih kurang RM100 Juta untuk menaiktaraf Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban.