40 peratus generasi milenium belanja di luar keperluan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 40 peratus generasi milenium telah berbelanja di luar keperluan mereka, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau ketika memetik perangkaan Bank Negara Malaysia berkata, 47 peratus belia Malaysia mempunyai hutang kad kredit yang tinggi.

“Jadi fikir dulu keperluan anda dan buat keutamaan pembelian, sama ada pakaian atau telefon baharu, atau, seperti apa yang anak saudara saya mahu iaitu PS5, dan anda akan mendapati setiap ringgit akan pergi jauh.

“Kata-kata Warren Buffett yang agak terkenal adalah, 'jangan simpan baki selepas berbelanja, tetapi berbelanjalah mengikut baki yang ada selepas menabung'.

"Dalam erti kata lain, bayar diri anda terlebih dahulu dan gunakan kuasa pengkompaunan sebagai satu kelebihan,'' katanya pada majlis penyampaian hadiah Kembara Bijak Wang 2020 (KBW 2020) pada Selasa.

Tengku Zafrul berkata, sebagai contoh, jika seseorang yang berusia 20 tahun ingin memiliki simpanan sebanyak RM1 juta pada usia 60, dengan andaian pulangan tahunan enam peratus, dia perlu menyimpan kira-kira RM500 sebulan.

Menurut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), 50 peratus anggota KWSP mempunyai kurang daripada RM200,000 dalam akaun mereka, lebih rendah daripada purata RM240,000 yang sepatutnya dimiliki anggota dalam simpanan asas apabila mencecah umur 55 tahun.

Tengku Zafrul juga menyatakan 50 peratus pencarum akan menghabiskan simpanan mereka dalam tempoh lima tahun selepas bersara.

''Bagaimanapun, dengan kemunculan ekonomi gig seperti Grab, Foodpanda dan Shopee, kami mempunyai banyak peluang serta opsyen bagi mendapatkan sumber pendapatan alternatif dalam meningkatkan simpanan.

Artikel Berkaitan:

''Dalam hal ini, saya amat berbesar hati melihat ramai rakyat Malaysia mengambil cabaran untuk memulakan perniagaan sendiri,'' katanya lagi.

Beliau juga menasihatkan rakyat Malaysia untuk mengukuhkan kemahiran celik kewangan mereka, sama ada bagi mengembangkan kekayaan melalui pelaburan atau melindungi kekayaan mereka melalui insurans atau takaful.

''Melalui acara seperti KBW 2020, matlamat untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia akan menjadi kenyataan, sejajar dengan Strategi Kebangsaan Literasi Kewangan Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, peningkatan tahap celik kewangan adalah komitmen jangka panjang yang memerlukan usaha dan sokongan berterusan banyak pihak.

Katanya, KBW 2020 merupakan program yang melibatkan 5,600 pelajar daripada lebih 20 institusi pengajian tinggi dan 22 kampus UiTM di seluruh negara, ia dianjurkan secara bersama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Hutang Kredit (AKPK), HSBC Malaysia serta Universiti Sains Malaysia.

Program yang bermula pada November tahun lepas itu bertujuan melonjakkan kesedaran kewangan peserta, menggalakkan tabiat kewangan yang sihat termasuk memastikan mereka menjadi lebih berdaya tahan, menyesuaikan diri dan bersedia daripada segi kewangan bagi menghadapi cabaran kehidupan, antara lain. - Bernama