600,000 PATI diusir dari Sabah sejak 1990

Hamzah (kiri) menemui Hajiji dalam kunjungan hormat delegasi KDN di Pejabat Ketua Menteri di Kota Kinabalu pada Selasa.
Hamzah (kiri) menemui Hajiji dalam kunjungan hormat delegasi KDN di Pejabat Ketua Menteri di Kota Kinabalu pada Selasa.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seramai 600,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Filipina dan Indonesia berjaya diusir dari Sabah sejak 1990 hingga tahun ini.

Menteri di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, daripada jumlah itu, hampir 7,000 PATI diusir di bawah pentadbiran kerajaan Sabah yang baharu yang dipimpin Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

"KDN dan kerajaan Sabah akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi termasuk pengusiran terhadap warga asing yang berada dalam Sabah secara haram.

"Kerajaan Sabah menegaskan bahawa semua warga asing yang berhasrat untuk berada di negeri ini perlu melalui proses imigresen yang sah dan mematuhi lunas perundangan yang telah ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan selepas kunjungan hormat delegasi KDN terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada Selasa.

Katanya lagi, dokumen perjalanan warga asing yang sah adalah amat penting pada ketika ini bagi menjayakan inisiatif kerajaan mengekang pandemik Covid-19 melalui pemberian suntikan vaksinasi kepada semua pihak termasuk warga asing yang terlibat dalam sektor ekonomi dalam negara.

"Bagi memperkasakan kawalan keselamatan sempadan, kerajaan Sabah juga telah meluluskan peruntukan khas sebanyak RM500,000 bagi memantapkan pengoperasian di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) selepas lawatan Hajiji baru-baru ini.

"KDN melalui semua agensi serta jabatan di bawahnya akan terus memperkasakan aset-aset keselamatan negara serta dasar-dasar kerajaan dari masa ke masa bagi memastikan keamanan dan keselamatan Sabah terjamin," katanya.

Terdahulu, dalam kunjungan hormat itu, Hamzah berkata, isu keselamatan dalam negeri dan kedaulatan Sabah serta isu PATI yang menjadi kebimbangan rakyat Sabah antara yang dibincangkan bersama Hajiji.

Artikel Berkaitan: