X

Kindly register in order to view this article
!

Sasar eksport minyak sawit, produk asas sawit meningkat kepada RM75 bilion

Nilai eksport minyak sawit serta produk berasaskan minyak sawit disasar meningkat kepada RM75 bilion tahun ini berbanding RM73.3 bilion pada 2020. - Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Nilai eksport minyak sawit serta produk berasaskan minyak sawit disasar meningkat kepada RM75 bilion tahun ini berbanding RM73.3 bilion pada 2020 berikutan jangkaan permintaan tinggi ekoran ekonomi yang semakin pulih.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dengan adanya inisiatif pemulihan ekonomi negara termasuk program vaksinasi yang dilancarkan baru-baru ini, ia bakal mempertingkat lagi industri tersebut.

“Kita berharap dengan adanya program vaksinasi yang dilancarkan kerajaan, industri ini akan lebih gagah dan laju untuk meningkatkan prestasi.

“Kita juga berharap agar ekonomi negara yang semakin pulih akan memacu pertumbuhan harga sawit serta membangkitkan sektor komoditi yang lain,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun 2021 dan 'Setahun Malaysia Prihatin' anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) pada Selasa.

Mohd Khairuddin berkata, pada 2020, sektor agrikomoditi negara mencatatkan nilai dagangan positif sebanyak RM191.7 bilion iaitu peningkatan 14.1 peratus berbanding RM168.1 bilion pada 2019.

"Daripada jumlah itu, eksport bernilai RM150.5 bilion manakala import sebanyak RM41.2 bilion," katanya.

Menurutnya, sektor tersebut mencatatkan peningkatan dalam eksport minyak sawit sebanyak RM73.3 bilion berbanding RM63.73 bilion pada 2019, industri kayu-kayan sebanyak RM22 bilion, getah RM48.5 bilion, koko RM6.2 bilion, kenaf dan tembakau RM329.02 juta dan lada RM120.8 juta.

“Ini adalah apa yang dikatakan 'blessing in disguise' (rahmat yang terselindung)... dengan berlakunya pandemik Covid-19 seluruh dunia pada hari ini sektor komoditi terutamanya sawit dan getah telah mencatatkan suatu perkembangan yang sangat baik.

“Harga CPO (minyak sawit mentah) baru-baru ini telah naik lebih daripada RM4,000 setan iaitu tertinggi sejak 25 tahun dan menyebabkan syarikat-syarikat yang rugi pada suku pertama 2020 mendapat keuntungan besar pada suku kedua, ketiga dan keempat serta boleh menanggung kerugian yang lalu,” katanya.

Mohd Khairudin berkata, tahun ini KPPK menyasar meningkatkan pendapatan eksport kayu kepada RM23 bilion serta eksport getah sebanyak enam peratus.

Menurutnya, KPPK akan mempertingkat usaha untuk memberikan nilai tambah kepada komoditi getah dengan menggerakkan projek Koridor Lateks Pantai Timur (KLPT) di Terengganu bagi meningkatkan pengeluaran susu getah cair tempatan.

Selain itu, ia juga akan memberi tumpuan untuk membesarkan saiz perladangan kenaf dan lada.

“Kita sasar untuk membesarkan saiz perladangan kenaf untuk menjadikan (menyediakan) bekalan yang besar kepada industri di peringkat hiliran, manakala bagi industri lada, kita telah berjaya membangunkan projek perintis tanaman integrasi dengan sawit.

“Ia melibatkan tanah kosong di kawasan ladang sawit dan telah digunakan untuk tujuan penanaman lada. Setakat ini projek ini telah berjaya dijalankan dan melibatkan 28 pekebun sawit,” katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!