X

Kindly register in order to view this article
!

Kematian bukan akibat vaksin

Kebimbangan semakin meningkat terhadap kesan sampingan serius yang mungkin disebabkan oleh vaksin AstraZeneca-Oxford. - Foto Agensi
A
A

SEOUL - Korea Selatan pada Isnin mengesahkan ia tidak menemui kaitan antara vaksin Covid-19 dan beberapa kematian yang dilaporkan baru-baru ini.

Keputusan itu diperoleh selepas pegawai kesihatan menyiasat kematian lapan individu yang mencetuskan kebimbangan terhadap kesan sampingan serius selepas pemberian suntikan vaksin AstraZeneca-Oxford.

“Kami membuat kesimpulan itu buat sementara waktu ini,” kata Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA), Jeong Eun-kyeong.

Sehingga Ahad, lebih 316,800 penduduk diberikan suntikan dos pertama selepas Seoul melancarkan program vaksinasi ke atas kumpulan pertama termasuk golongan berisiko tinggi pada akhir bulan lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Austria telah menggantung program imunisasi menggunakan vaksin AstraZeneca-Oxford susulan kematian seorang individu dan kesan sampingan yang dialami penerima vaksin itu.

“Pejabat Persekutuan untuk Keselamatan dalam Penjagaan Kesihatan (BASG) menerima dua laporan yang mengaitkan program vaksinasi menggunakan AstraZeneca-Oxford di klinik daerah Zwettl di wilayah Lower Austria,” ujar jurucakapnya.

Kandungan laporan itu mendakwa seorang wanita berusia 49 tahun meninggal dunia akibat masalah pembekuan darah manakala seorang wanita berumur 35 tahun mengalami masalah paru-paru akut dan sedang pulih.

“Sehingga kini, tiada bukti tentang kejadian tersebut dengan program vaksinasi terbabit,” jelas BASG dalam satu kenyataan.

Sementara itu, beberapa media melaporkan kedua-dua wanita terbabit adalah jururawat yang bekerja di klinik Zwettl. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!