X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

Zoo Negara 'bernafas' semula

Kawasan luar Zoo Negara di Kuala Lumpur yang dipenuhi kenderaan pengunjung yang beriadah pada hujung minggu.
A
A

KUALA LUMPUR - Pembukaan semula Zoo Negara kepada orang awam sejak Jumaat lalu memberikan kelegaan buat pihak pengurusan yang sebelum ini berdepan masalah untuk mendapatkan dana.

Timbalan Presidennya, Rosly Ahmad Lana berkata, sambutan daripada pengunjung juga amat menggalakkan walaupun dalam keadaan hujan pada Sabtu dan Ahad lalu.

Beliau berkata, Zoo Negara mencapai sasaran seramai 2,500 pengunjung pada hujung minggu lalu walaupun tiket dijual pada harga biasa.

"Sambutan orang ramai amat menggalakkan walaupun tanpa harga promosi. Terima kasih kepada pihak media yang sama-sama membantu mempromosi pembukaan semula Zoo Negara.

"Zoo Negara sudah bernafas semula. Saya berharap momentum ini berterusan dan berpanjangan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini menyebabkan Zoo Negara dihimpit isu dana disebabkan tidak dibenarkan dibuka untuk orang ramai.

Kesulitan tersebut telah menarik pelbagai pihak khususnya dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil menyalurkan bantuan.

Kereta bersusun menunggu giliran masuk ke kawasan Zoo Negara, Kuala Lumpur pada Ahad.
Kereta bersusun menunggu giliran masuk ke kawasan Zoo Negara, Kuala Lumpur pada Ahad.

Sementara itu, Rosly berkata, sehingga kini bantuan daripada NGO dan orang awam masih berterusan.

"Cuma bantuan melibatkan syarikat besar belum ada lagi setakat ini. Bagaimanapun, pembukaan Zoo Negara sedikit sebanyak melegakan pihak pengurusan untuk mengumpul dana bagi memastikan kos operasi mampu disediakan tanpa sebarang masalah, " katanya.

Beliau bagaimanapun menasihatkan pengunjung untuk kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam kawasan Zoo Negara bagi mengelakkan penularan Covid-19.

"Pengurusan dan pasukan keselamatan juga ditugaskan melakukan pemantauan, namun kerjasama daripada orang awam juga amat diperlukan dalam sama-sama memerangi Covid-19," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!