MAFI sasar lahir 750 agropreneur muda baharu

Che Abdullah Mat Nawi (tengah) pada sidang akhbar Program Jelajah Agropreneur (Jam) Kedah di Inapan Seri Laksamana, Jalan Istana, Lubuk Kawah, Jitra, Kedah pada Isnin.
Che Abdullah Mat Nawi (tengah) pada sidang akhbar Program Jelajah Agropreneur (Jam) Kedah di Inapan Seri Laksamana, Jalan Istana, Lubuk Kawah, Jitra, Kedah pada Isnin.
A
A
A

JITRA - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyasarkan untuk melahirkan seramai 750 usahawan muda baharu di seluruh negara melalui Program Agropreneur (PAM) pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, sebanyak RM15 juta peruntukan 2021 disediakan kementerian itu bagi tujuan tersebut.

Beliau berkata, antara bantuan disediakan di bawah program itu ialah bantuan Geran Agropreneur Muda (GAM) berbentuk barangan sehingga RM20,000 bagi projek baharu bagi meningkatkan pengeluaran hasil dan menambah pendapatan agropreneur muda tersebut.

"Selain itu, bantuan modal sehingga RM50,000 melalui Pakej Pembiayaan Khas TEKUN Nasional dan Agrobank sehingga RM200,000 bagi projek pengembangan serta kursus jangka pendek dan khidmat nasihat dari agensi berkaitan di bawah kementerian.

"Setakat ini, seramai 6,969 agropreneur muda di seluruh negara telah menerima kelulusan PAM yang dianggarkan berjumlah RM126.23 juta sejak ia diperkenalkan pada 2016 sehingga 24 Disember 2020,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jelajah Agropreneur (Jam) Kedah di Inapan Seri Laksamana, Jalan Istana, Lubuk Kawah, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Datuk Fouzi Ali dan Pengarah Unit Agropreneur Muda, Mohammad Ezri Shamsuddin.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 6,908 orang agropreneur muda menerima kelulusan GAM dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM121.97 juta, manakala 61 lagi menerima kelulusan pembiayaan PAM sebanyak RM4.26 juta untuk tempoh yang sama.

Artikel Berkaitan:

Che Abdullah berkata, sektor tanaman menerima peruntukan terbanyak dengan RM48.57 juta melibatkan 2,767 usahawan, diikuti sektor industri makanan RM36.08 juta (2,290 orang), sektor ternakan RM29.22 juta (1,347 orang) dan perikanan RM12.37 juta (565 orang).

"Walaupun bantuan dilihat banyak kepada sektor tanaman, bagaimanapun kita dapat lihat bahawa bidang agroprenuer ini tidak hanya terhad kepada tanaman semata-mata tetapi juga sektor lain seperti pemasaran, sekali gus melahirkan ramai usahawan berstatus jutawan," katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan, kesemua sektor-sektor di bawah program ini sama ada tanaman, ternakan, perikanan, industri makanan, agroperlancongan ataupun pemasaran menjanjikan pulangan lumayan.