2,783 murid Tahun Satu terima sumbangan alat tulis

Tengku Aslahuddin (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil sekolah sekitar Temerloh sambil diperhatikan Wan Abdul Hamid (kanan) di PPD Temerloh pada Isnin.
Tengku Aslahuddin (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil sekolah sekitar Temerloh sambil diperhatikan Wan Abdul Hamid (kanan) di PPD Temerloh pada Isnin.
A
A
A

TEMERLOH - Sesi persekolahan 2,783 murid Tahun Satu membabitkan 69 buah sekolah di daerah ini bertambah ceria selepas mereka menerima sumbangan alat tulis daripada Yayasan Tunku Najihah pada Isnin.

Sumbangan bernilai kira-kira RM25,000 itu diagihkan menerusi program Kembali Ke Sekolah yayasan terbabit bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Temerloh.

Lembaga Pengarah Yayasan Tunku Najihah,Tengku Aslahuddin Ja'afar Tengku Azlan berkata, sumbangan yang disalurkan itu sebagai tanda keprihatinan yayasan terhadap sistem pendidikan di negara ini.

Menurutnya,sumbangan yang diadakan buat julung kalinya itu juga dilihat tepat pada masanya dalam kesukaran yang dihadapi rakyat berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

"Kita berharap sumbangan ini dapat membawa keceriaan dan menyuntik motivasi kepada murid-murid yang telah lama tidak dapat berada di sekolah selama ini kerana pandemik Covid-19.

"Malah ia juga sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban keluarga terutamanya mereka yang terjejas kerana pandemik ini," katanya pada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan tersebut di PPD Temerloh yang turut dihadiri Pegawai PPD, Wan Abdul Hamid Wan Mohammad.

Dalam pada itu, Tengku Aslahuddin turut memaklumkan, selain murid sekolah rendah, Yayasan Tunku Najihah juga turut memberi tumpuan kepada pelajar sekolah menengah.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH, selepas ini pihak yayasan turut merancang untuk membantu pelajar sekolah menengah pula selain beberapa program lain yang bakal diadakan di daerah ini," katanya.