Niat bantu individu jana pendapatan

Nurul Hazira menunjukkan bakso sejuk beku keluaran syarikatnya, Bakso Rara. Pek warna hijau merupakan edisi khas sempena Ramadan dan Syawal yang ditambah dengan serunding dan sambal.
Nurul Hazira menunjukkan bakso sejuk beku keluaran syarikatnya, Bakso Rara. Pek warna hijau merupakan edisi khas sempena Ramadan dan Syawal yang ditambah dengan serunding dan sambal.
A
A
A

MARANG – Niat mahu membantu lebih ramai individu menjana pendapatan mendorong Nurul Hazira Ismail, 31, melangkah setapak dalam perniagaan dengan mengeluarkan bakso sejuk beku di bawah jenama Bakso Rara.

Walaupun sudah memiliki restoran bakso, pemilik Bakso Rara itu mengambil keputusan memasarkan produk sejuk beku pula kerana ingin berkongsi rezeki dengan masyarakat yang mahu berniaga bersamanya.

Bakso sejuk beku yang siap dipek akan dihantar kepada ejen Bakso Rara.
Bakso sejuk beku yang siap dipek akan dihantar kepada ejen Bakso Rara.

Nurul Hazira berkata, penyertaan dalam program bantuan dan kebajikan menyedarkan dirinya bahawa ramai individu yang hilang pekerjaan dan hidup susah lebih-lebih lagi selepas pandemik Covid-19 melanda dunia.

“Jika sekadar mahu hidup, bisnes ini sudah cukup untuk makan minum saya tapi saya tahu sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ramai orang yang tiada kerja, tiada pendapatan untuk tanggung keluarga.

“Mahu bantu dengan benda lain kita pun tidak mampu tapi dengan perniagaan ini saya harap dapat beri peluang kepada orang ramai jana pendapatan melalui menjadi ejen Bakso Rara,” katanya.

Menurut ibu kepada Anis Laura berusia 11 bulan ini, dia mula berniaga bakso menggunakan rempah asli Indonesia sejak enam tahun lalu di rumahnya di Kampung Rhu Rendang secara penghantaran ke rumah pelanggan.

Artikel Berkaitan:

Nurul Hazira bersama suami dan anak yang sentiasa menyokongnya dalam berniaga.
Nurul Hazira bersama suami dan anak yang sentiasa menyokongnya dalam berniaga.

Ketika itu, Bakso Rara mampu dijual antara 100 hingga 200 bekas sehari dan setahun kemudian dia mengambil keputusan membuka restoran di Kampung Surau Panjang sebelum berpindah ke Kampung Bukit, Kuala Terengganu.

Nurul Hazira berkata, idea mengeluarkan bakso sejuk beku tercetus pada bulan Julai lalu apabila pelanggannya dari Kuantan, Pahang mahu menjadi ejen menjual Bakso Rara di sana selepas berpuas hati dengan rasa baksonya.

Selepas enam bulan di pasaran, bakso sejuk beku keluaran Bakso Rara mendapat sambutan baik daripada pelanggan di seluruh negara.