Mendidik akhlak anak sejak kecil

Perihal kewajipan mendidik anak perlu dilakukan sejak dari kecil. Bak kata pepatah, melentur buluh, biar daripada rebungnya.
Perihal kewajipan mendidik anak perlu dilakukan sejak dari kecil. Bak kata pepatah, melentur buluh, biar daripada rebungnya.
A
A
A

AWAL Januari lalu, saya singgah di sebuah kedai RM2.10. Disebabkan baru dua hari dibuka, kedai dua tingkat tersebut dibanjiri dengan ramai orang.

Bukan kedai RM2.10 itu yang hendak dikisahkan, tetapi terdapat satu ‘insiden’ yang sangat menjentik kotak pemikiran saya.

Ceritanya begini, disebabkan hanya tiga kaunter dibuka di kedai itu, barisan pelanggan yang beratur untuk membayar sangat panjang.

Seperti ramai yang kata, apabila berada di kedai RM2.10, mustahil kita akan beli satu atau dua barang sahaja, pasti berbondong-bondong item yang akan dibawa balik.

Penantian yang terlalu lama membuatkan saya dikejutkan dengan satu perbualan yang tidak ‘sedap’ didengar terpacul daripada seorang kanak-kanak.

Budak yang berusia lebih kurang 10 atau 11 tahun itu dengan nada selamba dan kuat berkata:

“Mama, tengok budak hitam gemuk tu, dahlah berbau busuk, pakai selipar buruk, beratur panjang-panjang hanya beli dua (bungkus) keropok saja. Mesti famili dia miskinkan?”

Kata-kata itu, kemudian diikuti dengan ejekan menerusi gerak tangan dan mulut.

Artikel Berkaitan:

Bukan saya sahaja terkesima, barangkali khalayak yang berada di situ juga terperanjat mendengar ayatnya.

Kami semakin ralat apabila ibu bapa kanak-kanak itu hanya menepuk bahu anaknya sahaja tanpa sepatah kata-kata menegur apalagi memarahi.

Saya sukar menerima reaksi bersahaja mak ayah budak berkenaan.

Saya melihat kanak-kanak yang sedang memegang duit RM4 di tangan kanannya dan menggenggam duit syiling di kirinya tertunduk malu.

Wajahnya yang riang ketika memegang dua bungkus keropok tadi bertukar menjadi suram selepas dicerca oleh orang yang tidak dikenalinya.

Ibu kanak-kanak malang memeluk erat anaknya dari belakang, seolah-olah memberi isyarat supaya bersabar.

Ya, saya memahami bahawa dalam kehidupan yang fana ini, setiap manusia menempuh takdir berbeza.

Namun, insiden penghinaan yang saya saksikan itu amat mendukacitakan, lebih-lebih lagi ia bersangkut-paut dengan pelajaran akhlak.

Saya tertanya-tanya, bagaimana ibu bapa tadi mendidik anaknya? Katakan, kanak-kanak itu satu-satu anaknya, ia bukan alasan untuk menidakkan mereka untuk mengajar si kecil tentang asas adab, tatatusila, berperilaku mulia dengan individu lain.

Islam sendiri tidak pernah mengajar umatnya menghina atau mengejek rupa paras dan fizikal orang lain.

Dalam Surah al-Hujurat, ayat 12, ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.”

Kisah budak berkulit gelap itu mengingatkan saya tentang teguran Rasulullah SAW kepada Abu Dzar al-Ghifari yang menghamburkan kata-kata nista kepada Bilal bin Rabah yang berbunyi: “Dasar kulit hitam!” Seperti sedia maklum, Bilal yang dilahirkan sebagai hamba yang mempunyai kulit gelap, rambut dan berbibir tebal.

Baginda yang kurang senang dengan kata-kata Abu Dzar menghampirinya lalu dengan tegas berkata: “Sungguh, perbuatanmu adalah perilaku orang-orang jahiliah.” Abu Dzar kemudian menangis dan memohon maaf kepada Bilal di atas tindakan diskriminatifnya.

Sesungguhnya, pengkisahan di antara Abu Dzar dan Bilal sarat dengan pengajaran berguna. Daripada cerita itu juga, ia menyedarkan kita bahawa betapa peri penting menjaga lisan.

Plot di kedai RM2.10 yang saya lihat itu merupakan cebisan peristiwa kecil, tetapi signifikan untuk direnung.

Bagi saya, perihal kewajipan mendidik anak perlu dilakukan sejak dari kecil. Bak kata pepatah, melentur buluh, biar daripada rebungnya.

* Mazlina Abdul Majid ialah Editor Rencana Sinar Plus