Kerani akaun berputih mata ditipu 'Datuk Asisten Komisioner'

No Image Caption
A
A
A
KUALA TERENGGANU - Seorang kerani akaun berputih mata selepas wang di dalam akaun banknya berjumlah hampir RM15,000 lesap akibat melayan panggilan individu yang tidak dikenali.

Kejadian bermula selepas wanita berusia 32 tahun tinggal di Kijal, Kemaman menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai Pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kira-kira jam 3 petang Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, suspek memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan cukai pendapatan bagi sebuah syarikat yang didaftarkan ke atas namanya.

M Zambri berkata, bagaimanapun mangsa menafikannya sebelum panggilan berkenaan disambungkan ke talian kecemasan bagi memberi peluang kepada mangsa membuat aduan yang identitinya disalahguna oleh pihak ketiga.

"Mangsa bercakap dengan seorang anggota polis berpangkat Sarjan sebelum melepaskan panggilan kepada pegawai atasan berpangkat 'Datuk Asisten Komisioner' dari Bukit Aman.

"Semasa sedang diambil keterangan, mangsa diminta mendedahkan maklumat peribadinya termasuk nombor kad pengenalan selain nombor akaun bank yang aktif dengan alasan untuk semakan.

"Kemudian mangsa dimaklumkan lagi hasil semakan mendapati mangsa terlibat dengan jenayah pengubalan wang haram dan pengedaran dadah sebelum mengingatkan mangsa supaya merahsiakan perkara itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Kata beliau, beberapa jam kemudian, mangsa diarahkan membuat semakan baki akaun bank yang ada sebelum terkejut mendapati hampir RM15,000 di dalam akaun banknya lesap begitu sahaja.

Yakin dirinya sudah ditipu sindiket Macau Scam, mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Artikel Berkaitan:


Dalam masa sama, M Zambri mengingatkan orang ramai tidak mudah mendedahkan maklumat peribadi dan perbankan seperti nombor akaun, nombor kata laluan bank kepada pihak ketiga.

"Kami pun hairan kerana kes Macau Scam masih terus berlaku walaupun pelbagai peringatan dan nasihat sudah diberikan kepada orang ramai.

"Lebih mudah, tolong jangan layan panggilan daripada nombor tidak dikenali lebih-lebih lagi nombor mencurigakan," katanya tegas.