Hasrat lahir lebih ramai hufaz al-Quran

Noh (belakang, empat dari kiri) bersama pelajar dan guru pada Majlis Perasmian Madrasah Tahfiz Haji Omar di Parit 2 Sungai Burong pada Ahad.
Noh (belakang, empat dari kiri) bersama pelajar dan guru pada Majlis Perasmian Madrasah Tahfiz Haji Omar di Parit 2 Sungai Burong pada Ahad.
A
A
A

TANJONG KARANG - Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar membuka Madrasah Tahfiz Haji Omar di Parit 2 Sungai Burong di sini bagi melahirkan lebih ramai penghafaz al-Quran dalam kalangan anak-anak asnaf di Parlimen Tanjong Karang.

Noh berkata, seramai 30 pelajar tahfiz yang kebanyakannya berusia 13 tahun diambil untuk mengikuti pembelajaran secara percuma di madrasah berkenaan.

Menurutnya, maahad itu menawarkan pengajian tahfiz sepenuh masa dengan semua perbelanjaan pengajian termasuk keperluan makan dan minum serta tempat tinggal ditanggung sepenuhnya.

“Pembukaan maahad ini merupakan hasrat dan niat saya serta keluarga untuk menjadikan rumah pusaka berusia 70 tahun yang dulu agro pelancongan diubahsuai sebagai Madrasah Tahfiz Haji Omar,” katanya pada sidang akhbar pada Majlis Perasmian Madrasah Tahfiz Haji Omar di Parit 2 Sungai Burong di sini pada Ahad.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, institusi tahfiz itu akan menjalankan peranannya bagi mengajar pelajar mengenai Islam secara lebih mendalam termasuk membaca dan menghafaz al-Quran.

“Di samping itu, kita berharap sokongan ibu bapa supaya memberi galakan berterusan kepada anak-anak mereka untuk lebih seronok mendalami ilmu agama serta menghafaz al-Quran,” katanya.

Selain itu katanya, terdapat banyak aktiviti kokurikulum boleh dilakukan pelajar tahfiz itu termasuk pembabitan dalam sukan futsal, ping pong dan riadah di dewan terbuka.

Menurutnya, pihaknya sedang berhubung dengan pusat kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi melatih pelajar di maahad tahfiz itu sebaik menamatkan pengajian tahfiz.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, selepas kejayaan menghafaz al-Quran mereka diberi peluang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara 'fast track' dan jika dilatih saya yakin mereka juga boleh mendapat keputusan baik,” katanya.