Lompat parti, rasuah khianat demokrasi

Lapraon Sinar Harian sebelum ini. Gambar kecil: Hafidzah Mustakim
Lapraon Sinar Harian sebelum ini. Gambar kecil: Hafidzah Mustakim
A
A
A

KOTA BHARU - Melompat parti dan rasuah kebendaan atau jawatan untuk meraih sokongan merupakan pengkhianatan kepada proses demokrasi dan pilihan raya.

Situasi itu menunjukkan pemimpin sanggup menderhaka kepercayaan pengundi.

Ketua Angkatan Wanita Amanah (Awan) Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim berkata, pihaknya memuji tindakan berprinsip Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail, yang menolak tawaran pihak tertentu yang meminta beliau memberi sokongan kepada pemerintahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Selaku pemimpin wanita, tindakan tegas menolak rasuah ini selari dengan kajian Bank Dunia iaitu dalam kalangan 150 negara di Eropah, Afrika dan Asia, wanita merupakan kumpulan yang lebih dipercayai dan kurang terdedah kepada rasuah.

“Kami juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada beliau atas pendedahan berani ini kerana rakyat tahu aktiviti jijik dan tidak bermoral membeli ahli Parlimen untuk pengekalan kuasa benar-benar berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Saya bukan bahan dagangan untuk dijual beli’

MP Sekijang dakwa ditawar ganjaran sokong Muhyiddin

Menurutnya, perkara itu perlu mesti ditentang oleh semua pihak dalam negara demokrasi ini terutama pemimpin yang meletakkan kebenaran dan keadilan sebagai dasar utama perjuangan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tidak tergambar bagaimana aktiviti membeli ahli Parlimen ini terus-terusan berlaku tanpa ada rasa bersalah dalam kalangan pelakunya.

“Di mana perginya amanah dan integriti yang sepatutnya menjadi asas kepada pemimpin tertinggi negara ini jika perkara ini boleh berlaku dalam negara kita.

“Bagaimana dengan kepercayaan yang diberikan rakyat kepada kita untuk memimpin. Jangan permainkan rakyat, mereka adalah nadi utama pemimpin.

“Tindakan Ahli Parlimen Sekijang ini membuktikan masih ada lagi pemimpin yang teguh berprinsip dan berintegriti yang boleh dipercayai rakyat untuk memimpin Malaysia menuju negara yang adil dan amanah untuk semua,” katanya.