X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 04 Disember 2021

MP Sekijang dakwa ditawar ganjaran sokong Muhyiddin

Natrah
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail mendakwa beliau dikunjungi dua individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri yang menawarkan ganjaran sekiranya beliau memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dakwa Natrah, dalam pertemuan pada Rabu itu, dua individu terbabit menyatakan keinginan untuk membantu beliau meneruskan usaha sebagai seorang ahli Parlimen selepas melakukan kerja dengan baik di Sekijang.

“Mereka bertanya apakah saya berminat untuk memberi sokongan kepada Muhyiddin serta manfaat yang boleh diperoleh dengan pemberian sokongan tersebut.

“Saya dengan terang dan jelas menjawab bahawa saya tidak berminat untuk menyokong Muhyiddin dan menolak tawaran mereka.

“Bagi saya, tiada erti mendapat manfaat apa sekalipun jika saya berpaling tadah dari perjuangan reformasi dan melanggar sumpah yang telah saya lafaz apabila menjadi seorang ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Susulan itu, Natrah memaklumkan telah melaporkan perkara tersebut kepada pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau percaya, usaha jahat untuk menawar habuan, jawatan atau mendesak dan mengugut ahli Parlimen PKR serta pembangkang akan terus berjalan.

“Jelas kerajaan minoriti hari ini bersedia melakukan apa sahaja kecuali menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen segera,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!