X

Kindly register in order to view this article
!

Bina sistem sokongan, bantu belia bendung rasuah

Gambar kecil: Nasim Ralim
A
A

SHAH ALAM - Sebuah sistem sokongan perlu dibentuk dalam usaha untuk membendung kegiatan rasuah khususnya dalam kalangan belia.

Presiden Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (Pemuda GEMA), Nasim Ralim berkata, usaha tersebut boleh dilakukan dengan cara mewujudkan sebuah pusat sehenti sebagai pusat aduan untuk mereka yang berhadapan dengan masalah rasuah.

Selain itu, Nasim berkata, gerakan belia juga boleh memperbanyakkan lagi program serta aktiviti yang dapat memberikan kesedaran berkaitan isu rasuah sokongan terhadap anak muda.

Menurutnya, dengan cara itu, kumpulan belia yang pernah terdedah kepada kegiatan rasuah akan merasakan bahawa ada pihak lain yang masih mengambil berat dan ingin membantu mereka.

“Kita nak sedarkan golongan belia bahawa mereka ada sistem sokongan yang akan membuatkan mereka tidak berasa keseorangan kalau hendak memerangi atau mengelak daripada perbuatan rasuah.

“Saya yakin ramai orang yang baik tetapi kadang-kadang keadaan akan memaksa mereka melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

“Jadi adalah baik sekiranya ada sebuah pusat sehenti yang membolehkan kita memberikan kesedaran dan pada masa sama mengambil maklum tentang apa-apa kejadian rasuah yang dihadapi oleh belia dan orang awam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Pemuda GEMA merupakan antara pertubuhan yang terlibat dalam Gabungan Belia Rasuah Busters yang dilancarkan pada 27 Februari lalu.

Gabungan tersebut adalah hasil kerjasama Majlis Belia Malaysia bersama Sinar Harian bertujuan melibatkan lebih banyak pihak dalam usaha membendung gejala rasuah daripada terus berleluasa di negara ini.

Pada masa sama, Nasim berkata, di samping pelaksanaan polisi oleh pentadbiran tertinggi negara, usaha memerangi rasuah sememangnya perlu melibatkan golongan akar umbi.

“Kita perlu kepada polisi kerajaan dan sebagainya. Tetapi kita juga mesti mencipta sebuah masyarakat yang sikap mereka adalah menolak rasuah,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!