Covid-19 menurun kepada 1,680 kes dengan 7 kematian

Kes baharu positif Covid-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam lalu mencatatkan sebanyak 1,680 kes.
Kes baharu positif Covid-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam lalu mencatatkan sebanyak 1,680 kes.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Selepas dua hari kes baharu positif Covid-19 harian melebihi angka 2,000 kes, jumlah itu menurun kepada 1,680 kes pada Sabtu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu berkurang berbanding 2,154 kes pada Jumaat dan 2,063 pada Khamis.

Beliau bagaimanapun berkata, sebanyak tujuh kematian dilaporkan pada Sabtu menjadikan jumlah kematian keseluruhan yang direkodkan setakat ini adalah sebanyak 1,166 orang.

"Kes baharu yang dilaporkan hari ini melibatkan sebanyak 1,677 kes penularan tempatan dan tiga kes import dan menjadikan jumlah kes positif ialah sebanyak 311,777 kes.

"Daripada jumlah itu, kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) adalah sebanyak 172 kes, manakala yang memerlukan bantuan pernafasan sebanyak 84 kes," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dr Noor Hisham berkata, kes sembuh yang direkodkan pula mengatasi kes positif baharu iaitu sebanyak 2,548 kes dengan kadar kesembuhan 92.8 peratus menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh sebanyak 289,452 kes.

Beliau berkata, Selangor terus mencatatkan bilangan kes harian Covid-19 tertinggi dengan mencatatkan 826 kes.

Katanya, ia diikuti Sarawak dengan 221 kes, Johor (139), Negeri Sembilan (89), Pulau Pinang (84), Kuala Lumpur (81), Sabah (74), Perak (68), Kelantan (35), Terengganu (22), Pahang (17), Kedah (11), Melaka (10), Putrajaya (2) dan Labuan (1).

Artikel Berkaitan:

"Hari ini hanya terdapat empat kluster baharu dilaporkan yang melibatkan tiga kluster berkaitan tempat kerja dan satu kluster dalam komuniti.

"Kluster tempat kerja melibatkan Lagoon Selatan, Selangor; Jalan Firma Dua, Johor dan Jalan Haji Malek, Melaka; manakala kluster komuniti membabitkan Bukit Tunggal, Sarawak," katanya.