X

Kindly register in order to view this article
!

Kuasa ilmu vs kuasa politik?

A
A

HEBOH di seluruh negara – bahkan hingga dilaporkan akhbar-akhbar di luar negara – tentang isu sijil pendidikan Timbalan Menteri Luar Senator Marzuki Yahya, status sijil akauntan bertauliah Menteri Kewangan YB Lim Guan Eng, dan juga Menteri Pertahanan YB Mat Sabu yang tiada sijil pendidikan tinggi sama sekali.

Kesemua ahli politik ini – yang secara kebetulannya hadir daripada parti politik Pakatan yang berbeza – memegang portfolio yang cukup kritikal. Mereka bukan sahaja terlibat dalam pembuatan dasar yang mengimpak rakyat di dalam negara kita, tetapi juga terlibat secara langsung dengan imej dan reputasi negara di dunia luar.

Hakikatnya, ada tiga persoalan yang perlu dicermati: pertama tentang kejujuran ahli politik itu sendiri, kedua tentang sejauh mana keperluan tahap akademik atau kepakaran dalam kalangan menteri Kabinet, dan ketiga tentang potensi anggota pentadbir awam – atau birokrat kita – dalam memandu pembuatan dasar serta membantu para menteri Kabinet.

Pada asasnya, persoalan besar yang diperdebatkan saat ini ialah tentang kejujuran kesemua ahli politik untuk berlaku jujur tentang tahap pendidikan mereka. Jika seseorang itu mengaku bahawa beliau lulus dari Universiti Cambridge, tentu sekali secara umumnya kita akan menyangka bahawa beliau lulus dari sebuah universiti terkemuka di UK, dan bukannya universiti yang tidak diketahui dari Amerika Syarikat.

Ini belum lagi mengambil kira penjelasan yang tidak meyakinkan dengan transkrip yang meragukan (gred ‘A’ dengan nilai 3.9 dan bukannya 4.0).

Namun terdapat satu lagi persoalan besar yang perlu diperjelaskan: adakah syarat kelayakan berdasarkan piawaian akademik tertentu wajar – atau wajib – untuk dikenakan ke atas mana-mana posisi menteri Kabinet yang utama? Terdapat beberapa contoh yang boleh dijadikan pertimbangan dalam isu ini.

Antaranya tentulah tindakan YB Guan Eng ‘mempersoalkan’ status hutang kerajaan negeri Pahang dan Kelantan – dan secara selektif mendiamkan diri tentang hutang kerajaan negeri di bawah Pakatan yang lebih besar – secara terbuka juga mengundang impak tidak langsung ke atas keyakinan pelabur: sikap terlalu banyak berpolitik bagi seseorang yang memegang posisi Menteri Kewangan bukanlah sesuatu yang baik sama sekali.

Maka tidak menghairankan apabila ada antara kita yang menghembus nafas lega susulan keputusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi dengan penyertaan tokoh-tokoh yang memang dikenali kompetensi mereka dalam bidang ekonomi tempoh hari.

Langkah ini sememangnya tepat dan berpotensi memulihkan ‘defisit kepakaran’ yang ada dalam Kabinet sekarang – khususnya dalam proses pembuatan keputusan dan dasar-dasar ekonomi yang cukup kritikal.

Lihat sahaja antara barisan ahli barisan Majlis Tindakan Ekonomi kali ini yang sekurang-kurangnya boleh mengimbangi kecenderungan berpolitik yang keterlaluan:

Dr Muhammed Abdul Khalid (berkelulusan Ekonomi politik dari Sciences Po, Perancis), Tan Sri Rafidah Aziz (Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkelulusan Sarjana Ekonomi Universiti Malaya), Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram, dan juga tidak lain tidak bukan, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (bekas Gabenor Bank Negara yang juga merupakan antara gabenor bank terbaik dunia serta kini Pengerusi Permodalan Nasional Berhad).

Berkait dengan perspektif ini, sarjana dari Leiden University, Dr Johan Christensen sebagai contoh, melakukan kajian perbandingan antara empat negara: Norway, New Zealand, Ireland, dan Denmark.

Beliau mendapati bahawa kerajaan yang melibatkan pakar ekonomi dalam proses pembuatan dasar dan keputusan ekonomi mereka akan mencapai prestasi yang lebih baik dan makmur. Sebaliknya, kerajaan yang mengasingkan pakar ekonomi – apatah lagi melaksanakan dasar-dasar yang bertentangan dengan seruan mereka – akan terjerumus dalam haluan populis yang merugikan dalam jangka masa panjang.

Satu lagi perkembangan yang membimbangkan dalam proses kerajaan Pakatan hari ini mengimbangi antara ‘kuasa ilmu’ dengan ‘kuasa politik’ ialah pendedahan Tun Daim Zainuddin bahawa terdapat menteri Pakatan yang mengetepikan kepakaran para pentadbir awam senior kita – hinggakan mereka ‘berlepas tangan’ lalu menjadi ‘punca mengapa banyak perkara gagal dilaksanakan dengan baik’.

Isu ini mungkin kedengaran kecil, tetapi benar-benar menggugat pembuatan dasar negara. Ingatlah pesanan hikmah lagi bestari ilmuwan Melayu kita dahulu kala – ‘hanya jauhari mengenal manikam’.

* Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysian (UKM)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!