Mindef cadang tambah kuota kemasukan pelajar MTD ke UPNM

Ismail Sabri (duduk, tengah) ketika sidang media selepas lawatan kerja di UPNM hari ini. Turut kelihatan, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang (kiri) dan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah (kanan). - Foto Bernama
Ismail Sabri (duduk, tengah) ketika sidang media selepas lawatan kerja di UPNM hari ini. Turut kelihatan, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang (kiri) dan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah (kanan). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan bercadang untuk meningkatkan kuota sehingga 40 peratus kemasukan pelajar-pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, keputusan jumlah kuota itu bergantung kepada hasil perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kerana universiti berkenaan berada di bawah KPT.

"Jadi kita menyuarakan pandangan kepada KPT untuk membuka lebih banyak ruang kepada pelajar-pelajar RMC (MTD) untuk memasuki UPNM.

"Sekarang 10 peratus, mungkin boleh dinaikkan sehingga 30 atau 40 peratus (bagi) kemasukan (pelajar),” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja sulungnya ke UPNM di Kem Perdana Sungai Besi di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, UPNM merupakan universiti gabungan antara latihan ketenteraan dan akademik serta pelajar-pelajar MTD adalah sangat sesuai melanjutkan pengajian ke UPNM.

"Mereka merupakan pelajar terpilih. RMC dianggap sebagai 'boarding school' (sekolah berasrama) yang diberikan latihan ketenteraan. (Jadi ia sesuai)," katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, siswazah UPNM antara lepasan universiti yang menjadi pilihan para majikan kerana mereka dikatakan mempunyai tahap disiplin yang tinggi.

Justeru itu, Ismail Sabri berkata, kebolehpasaran siswazah UPNM ini lebih 90 peratus akan memperoleh pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

"Ini disebabkan majikan melihat siswazah UPNM ada kaitan dengan ketenteraan iaitu disiplin,” katanya. - Bernama