X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 27 November 2021

Campur tangan awal kerajaan bantu rapat jurang pendapatan: PM

Muhyiddin
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah intervensi awal melalui pembelajaran sepanjang hayat, pendidikan awal yang lebih baik dan akses digital secara meluas akan membantu merapatkan jurang pendapatan di negara ini serta menyediakan peluang yang sama untuk rakyat dalam jangka masa panjang, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Untuk tujuan ini, beliau berkata, Malaysia telah memperuntukkan hampir RM3 bilion untuk kemahiran dan peningkatan kemahiran bakat yang ada pada masa ini sejak tahun lepas sebagai permulaan untuk mempromosikan pembelajaran dan peningkatan sepanjang hayat.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, rancangan Malaysia untuk menyediakan 150,000 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dengan komputer riba bersama dengan pakej data terhad percuma melalui tajaan sektor swasta, serta pelancaran inisiatif gentian lima tahun di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) akan menyediakan kesalinghubungan yang lebih baik di sekolah-sekolah luar bandar dan kawasan terpencil.

"Walaupun banyak lagi yang perlu dilakukan, usaha secara kolektif untuk mempromosikan mobiliti sosial sebaliknya, akan membantu mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh," katanya ketika berucap merasmikan Forum Ekonomi Belia 2021 bertema 'A Brave New World' yang diadakan secara maya di sini pada Jumaat.

Menurut Perdana Menteri, pemulihan ekonomi global hanya dapat mampan sekiranya sesuatu itu disediakan secara adil dan saksama kepada semua.

"Dan untuk mengatasi ketidaksamaan secara berterusan, perhatian harus diberikan untuk mengatasi peluang yang tidak sama, bukan hanya hasil yang tidak sama," katanya.

Dalam hal ini, Muhyiddin berkata, kerajaan telah memperkenalkan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030) sebagai kesinambungan daripada Wawasan 2020.

"Matlamat utama WKB 2030 adalah agar rakyat Malaysia mencapai taraf hidup yang sesuai menjelang 2030, sementara tiga objektif utama WKB 2030 adalah untuk memastikan pembangunan untuk semua, mengatasi jurang kekayaan dan pendapatan serta mencapai aspirasi negara yang bersatu, sejahtera dan bermaruah,” katanya.

Menyentuh mengenai pandemik Covid-19, Muhyiddin berkata, krisis yang sedang berlaku pada masa ini dapat memberikan peluang, terutama jika pendekatan tradisional dan paradigma dipersoalkan dan dicabar.

"Sekiranya ada, pandemik itu menunjukkan kepada kita melangkaui sfera bidang kesihatan bahawa 'no man is an island' iaitu secara ekonominya tidak seorang pun dari kita selamat sehinggalah kita semua selamat.

"Oleh itu, kita mesti membina semula tangga mobiliti sosial, yang membolehkan sesiapa yang berusaha keras dan rajin untuk berjaya," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!