X

Kindly register in order to view this article
!

Peneroka Felda maut, dua beradik ditahan

Dua beradik yang ditahan di sebuah pondok di Empangan Lembah Okay,Raub pada Khamis. - Foto Ihsan polis
A
A

BENTONG - Seorang peneroka maut selepas bertengkar dengan menantunya dalam satu kejadian di sebuah rumah di Felda Mempaga 3 pada Rabu.

Dalam kejadian jam 2.15 petang, mangsa yang berusia 59 tahun meninggal dunia selepas mengadu sakit di bahagian dada dan muntah beberapa kali sebelum rebah.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, ketika kejadian, adik kepada menantu mangsa berusia 26 tahun yang ada bersama ketika itu berang melihat pertengkaran antara keduanya, lalu bertindak menendang mangsa di bahagian kiri dadanya.

"Selepas itu, mangsa mengadu sakit di bahagian dada dan muntah beberapa kali sebelum rebah.

"Anak perempuan mangsa menghubungi klinik kesihatan berhampiran dan pegawai kesihatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, kejadian pertengkaran itu berlaku selepas mangsa menegur menantunya berusia 34 tahun yang bertengkar dengan anak perempuannya berusia 20-an.

Ekoran kejadian itu katanya, menantu mangsa dan adiknya melarikan diri namun hasil operasi berjaya mengesan kedua-duanya berhampiran sebuah pondok di Empangan Lembah Klau, Raub pada jam 10.30 pagi, pada Khamis.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis heroin dan methamphetamine selain memiliki rekod jenayah dadah lampau," katanya.

Katanya, punca kematian mangsa belum dikenal pasti dan mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

"Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!