'UMNO tak perlu tangguhkan pemilihan parti'

Mohamed Nazri
Mohamed Nazri
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO tidak perlu menangguhkan pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada tahun ini, kata bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Memetik laporan The Star, beliau berkata, penangguhan sekali lagi Pemilihan UMNO 2020 itu bukanlah satu pilihan dengan mengambil kira kepada kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas tempoh darurat.

Menurutnya, sekiranya PRU15 diumum sejurus selepas darurat tamat pada 1 Ogos 2021, maka pilihan raya akan berlangsung dalam waktu 60 hari selepas tempoh tersebut.

“Ini bermakna (pilihan raya berlangsung) Oktober iaitu sebulan sebelum November. Jadi tidak perlu ditangguhkan (pemilihan UMNO),” katanya pada Khamis.

Pemilihan UMNO sepatutnya diadakan pada tahun lalu selaras dengan Perhimpunan Agung UMNO 2020 namun terpaksa ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan akibat pandemik Covid-19.

Mengikut perlembagaan UMNO, penangguhan dibenarkan dibuat dalam tempoh 18 bulan dan pernah dilakukan ketika Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak memegang jawatan presiden parti.

Bagaimanapun, pada Khamis, portal Malaysia Now melaporkan bahawa kepimpinan UMNO bakal mengambil keputusan untuk menangguhkan pemilihan parti yang dijadual diadakan pada Jun depan.

Menurut laporan tersebut, sumber memaklumkan bahawa usul penangguhan Pemilihan Umno 2021 sudah dikemukakan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bulan lepas di Janda Baik, Pahang.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Nazri berkata, beliau juga secara peribadi tidak bersetuju dengan keputusan untuk menangguhkan pemilihan parti.

"Pemilihan parti mesti berlangsung walau apa pun yang berlaku," ujar beliau.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa kesemua jawatan dalam UMNO termasuk presiden terbuka untuk ditandingi pada pemilihan parti itu tahun ini.