Iklan jualan vaksin Covid-19 dalam talian palsu

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Iklan penjualan vaksin Covid-19 secara dalam talian adalah palsu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui unit forensik siber sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan Interpol untuk memantau keadaan semasa dan juga penjualan vaksin dalam talian.

Bercakap pada sidang akhbar mengenai perkembangan Covid-19 pada Khamis, Dr Noor Hisham berkata, vaksin yang telah diberikan pendaftaran bersyarat, hanya boleh dibekalkan kepada pihak kerajaan dan pihak yang dibenarkan oleh kerajaan iaitu untuk dijadikan pusat vaksinasi.

Iklan penjualan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech dalam talian itu didakwa dijual dengan harga RM63.88.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai agar memastikan mereka menerima vaksin Covid-19 dari fasiliti kesihatan KKM yang diberikan secara percuma oleh kerajaan.

Mengulas isu sama, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dan tertipu dengan mana-mana pihak yang menawarkan vaksin Covid-19 secara panggilan.

Katanya, hanya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan KKM sahaja yang bertanggungjawab menguruskan vaksin Covid-19 termasuk pelaksanaan Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan dengan menyelaraskan pendaftaran rakyat untuk vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera.

“Maka urusan menentukan siapa yang boleh mendapatkan vaksin adalah dua kementerian itu (MOSTI dan KKM), yang mempunyai satu jawatankuasa khusus memastikan rakyat yang berdaftar divaksinkan,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan di Wisma Pertahanan di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri mengesahkan terdapat pihak-pihak yang telah mengambil kesempatan berhubung vaksin Covid-19 ini.

“Memang telah ramai ambil kesempatan, bukan setakat keluar secara dalam talian malah ada pihak-pihak yang datang kepada kita untuk ambil vaksin Covid-19, kononnya dia merupakan ejen dari negara-negara atau syarikat-syarikat tertentu,” katanya. - Bernama