JAS mulakan siasatan Sungai Kuang

Pencemaran yang dipercayai daripada najis haiwan yang dialirkan ke Sungai Kuang menyebabkan penduduk tidak boleh lagi menggunakan sungai tersebut untuk kegunaan harian.
Pencemaran yang dipercayai daripada najis haiwan yang dialirkan ke Sungai Kuang menyebabkan penduduk tidak boleh lagi menggunakan sungai tersebut untuk kegunaan harian.
A
A
A

IPOH - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak turun padang ke Kampung Ulu Kuang bagi menjalankan siasatan terhadap pencemaran Sungai Kuang yang disuarakan penduduk kampung tersebut pada Khamis.

Sinar Harian yang turut sama di dalam tinjauan selama kira-kira sejam itu mendapati masih terdapat sisa buangan berupa najis haiwan dialirkan ke Sungai Kuang tersebut.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal Kamarudin yang turut mengesahkan perkara itu berkata, sekumpulan pegawai JAS telah ke lokasi yang didakwa berlaku pencemaran tersebut bagi meninjau keadaan air di situ dan kini dalam proses menyiapkan laporan mengenai perkara itu.

"Saya kini masih menunggu laporan awal daripada JAS sebelum sebarang tindakan lanjut diambil," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Seramai enam pegawai termasuk dari Pejabat Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak hadir ke empat lokasi yang dibawa oleh penduduk kampung bagi meninjau keadaan air sungai berkenaan.

Selain itu, lawatan berkenaan turut disertai pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bagi melihat sendiri dakwaan penduduk seperti yang disiarkan pada Rabu.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Hamdan Ishak yang menunjukkan beberapa lokasi tersebut memaklumkan kehadiran JAS dan JPV melegakan penduduk.

Menurutnya, ketika lawatan tersebut, masih kelihatan sisa najis haiwan yang dibuang ke dalam sungai tersebut sekali gus membuktikan dakwaan penduduk berasas.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, penyelesaian segera perlu dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut dan tindakan sewajarnya juga perlu diambil supaya kejadian sama tidak berulang.

"Kita ucapkan terima kasih kepada pihak JAS dan JPV yang turun padang melihat sendiri permasalahan tersebut. Isu ini bukan rekaan atau untuk perhatian tetapi keadaan pencemaran itu memang membimbangkan.

"Cuma kita berharap supaya tindakan segera dapat diambil supaya tiada lagi sisa buangan atau najis haiwan dilepaskan ke sungai ini. Penduduk kampung akan terus memantau dari masa ke masa agar kejadian itu tidak berulang," katanya,

Pada Rabu, Sinar Harian menyiarkan berita mengenai pencemaran yang menghantui penduduk Kampung Ulu Kuang apabila Sungai Kuang tidak lagi boleh digunakan kerana dicemari najis haiwan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sungai Kuang bertukar warna, bau najis