Perikanan ambil tindakan kes tuba di Sungai Kemaman

Penguat kuasa Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, wakil TCS dan penduduk kampung membuat pemantauan di Sungai Kemaman.
Penguat kuasa Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, wakil TCS dan penduduk kampung membuat pemantauan di Sungai Kemaman.
A
A
A

KEMAMAN - Laporan mengenai kegiatan menuba udang galah di Sungai Kemaman, Terengganu mendapat perhatian pihak berwajib yang turun padang menyiasat dakwaan itu.

Aktiviti itu yang dikatakan berlaku sejak sekian lama, bukan sahaja memberi kesan negatif terhadap ikan dan udang di dalam sungai tetapi ia mula mengganggu fisiologi tuntung sungai.

Pengurus Projek Turtle Conservation Society of Malaysia (TCS), Dylan Wang berkata, pihaknya berterima kasih di atas kerjasama dan keprihatinan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu yang mengambil serius aduan berkenaan.

Menurutnya, sejak aduan dibuat, pihak Jabatan Perikanan Negeri Terengganu turun padang beberapa kali bagi menyiasat dakwaan itu.

"Pihak TCS dan penduduk Kampung Pasir Gajah telah membawa pegawai-pegawai penguat kuasa untuk meronda dan memantau tebing-tebing persarangan tuntung di Sungai Kemaman.

"Selain itu, kita juga menunjukkan kawasan yang disyaki aktiviti tuba itu dilakukan untuk tindakan lanjut pihak mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Jelas Dylan, sejak kes tuba di kawasan Sungai Kemaman di Pasir Gajah dilaporkan, tiada lagi aktiviti sedemikian dikesan.

Bagaimanapun, pihaknya mendakwa kes tuba dilaporkan berlaku di Sungai Ibok, iaitu kira-kira lima kilometer daripada kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita sangat kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab ini. Aktiviti menuba sungai bukan sahaja memberi kesan negatif kepada udang dan ikan yang menjadi sumber makanan kita, tetapi juga mengganggu penglihatan tuntung sungai, lebih-lebih lagi sekarang ini merupakan musim persarangan mereka," katanya.

Sinar Harian pada Sabtu lalu menyiarkan laporan khas bertajuk ‘Air mata tuntung sungai’, tentang aktiviti menuba udang galah di Sungai Kemaman yang memberi kesan negatif terhadap ikan dan udang di dalam sungai serta mula mengganggu fisiologi tuntung sungai.

Memburukkan keadaan, aktiviti itu semakin rancak selepas musim tengkujuh iaitu antara bulan Februari dan Mac, yang juga musim persarangan tuntung di sungai berkenaan.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Uzair Rusli berkata, spesis tuntung sungai yang dijumpai di Sungai Kemaman masih disenaraikan sebagai amat terancam (critically endangered), iaitu satu sahaja tahap sebelum diumumkan sebagai pupus.

Katanya, rujukan terkini Senarai Merah Spesies Terancam IUCN (IUCN Red List of Threatened Species) itu menunjukkan keadaan ini amat genting kerana masih kekurangan maklumat yang lengkap untuk spesis berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN:‘Air mata tuntung sungai’