X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan Malaysia, Deloitte capai penyelesaian RM324 juta isu 1MDB

Tengku Zafrul
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia dan Deloitte PLT bersetuju dengan penyelesaian semua tuntutan berkaitan tanggungjawab fidusiari dalam pengauditan akaun 1MDB dan SRC International Sdn Bhd sebanyak RM324 juta bagi tempoh tahun 2011 sehingga 2014.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penyelesaian tersebut merupakan satu kejayaan dalam usaha pemulihan berterusan kerajaan terhadap pihak terlibat.

Beliau berkata, kerajaan bertekad untuk memastikan bahawa tindakan sewajarnya diambil terhadap semua individu atau entiti terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam skim global 1MDB.

“Penyelesaian oleh Deloitte ini merupakan penyelesaian berkaitan 1MDB terbesar oleh sebuah firma audit di Asia Tenggara.

“Kejayaan penyelesaian luar mahkamah ini akan mempercepatkan pembayaran wang penyelesaian tersebut untuk memenuhi kewajipan tertunggak 1MDB dan SRC tanpa proses mahkamah yang mungkin berpanjangan dan mahal,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Julai 2020, Goldman Sachs dilaporkan telah mencapai penyelesaian dengan kerajaan Malaysia berkaitan 1MDB sebanyak RM15.8 bilion.

Pada 26 Februari 2021, kerajaan juga berjaya mencapai penyelesaian global sebanyak RM2.83 bilion berkaitan penglibatan sebuah kumpulan perbankan dalam isu 1MDB.

Kementerian Kewangan sehubungan itu merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas usaha dalam menyelesaikan masalah tersebut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!