X

Kindly register in order to view this article
!

Pasangan tunang didakwa edar, miliki dadah

Pasangan tunang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas dakwaan mengedar dan memiliki dadah.
A
A

KUALA TERENGGANU - Sepasang tunang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas dakwaan mengedar dan memiliki dadah jenis methamphetamine, heroin dan kodien, pada 20 Februari lalu.

Tertuduh, Mohamad Amirul Aliff Mat Jusoh, 22, berdepan tujuh pertuduhan dan tunangnya, Nurin Rasyiqah Adabiah Mat Ideris, 21, berdepan dua pertuduhan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mohamad Amirul Aliff didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine masing-masing seberat 1,797.7 gram dan 833.7 gram di belakang rumah di Jalan Jambu Bongkok, Kampung Jambu Bongkok, Marang jam 1.10 pagi pada 20 Februari lalu.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa mengedar dadah jenis heroin dengan berat kasar 1,096.8 gram di lokasi, masa dan tarikh sama.

Bagi setiap kesalahan itu, Mohamad Amirul Aliff yang didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) ADB 1952 berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum mati.

Mohamad Amirul Aliff turut berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) kerana mengedar dadah jenis methamphetamine dengan berat 152.1 gram dan 65.3 gram di tepi jalan kawasan Kampung Jambu Bongkok, Marang jam 1 pagi hari yang sama.

Selain itu, tertuduh lelaki turut berdepan dua lagi pertuduhan yang dibacakan bersama dengan tunangnya.

Mereka didakwa secara bersama mengikut Seksyen 39B(1)(a) kerana mengedar dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 102.1 gram.

Pasangan itu didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kodein dengan berat kasar 4.5 liter.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Jambu Bongkok, Kampung Jambu Bongkok, Marang pada masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, mereka yang didakwa mengikut Seksyen 12(2) akta sama berdepan hukuman denda RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan. Mahkamah menetapkan 9 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Marang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood dan kedua-dua mereka tidak diwakili peguam bela.

Pasangan itu ditangkap selepas taktik mereka menanam dadah di kawasan rumah sewa di Kampung Jambu Bongkok, Merchang, Marang bagi mengaburi mata pihak berkuasa gagal.

Perbuatan suspek berusia 22 tahun itu terbongkar susulan serbuan dilakukan di rumah sewanya kira-kira jam 1 pagi dan pelbagai jenis dadah serta wang tunai RM42,000 dirampas.

Jumlah rampasan dianggarkan bernilai hampir RM600,000.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!