X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki ugut tunjuk pistol mainan diberkas

Pistol mainan yang dirampas daripada suspek ketika ditahan di sebuah rumah di Bandar Sri Damansara pada Rabu.
A
A

PETALING JAYA - Polis memberkas seorang lelaki kerana disyaki mengugut seorang pemandu wanita e-hailing dengan menunjukkan pistol mainan di Damansara Damai, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Bandar Sri Damansara pada jam 12.05 malam pada Rabu.

"Pemeriksaan lanjut, kita telah menemui sepucuk pistol mainan berwarna hitam di pinggang suspek. Sebuah kereta Proton Wira turut dirampas," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Nik Ezanee berkata, dalam kejadian pada jam 3.15 petang itu, mangsa berusia 36 tahun sedang memandu kereta jenis Perodua Aruz dalam perjalanan mengambil penumpangnya di Damansara Damai.

"Setibanya di Jalan PJU 10/3 Damansarai Damai, mangsa telah membunyikan hon terhadap sebuah kereta jenis Proton Wira yang bergerak secara teragak-agak di hadapannya.

"Akibat daripada tindakan wanita itu, suspek telah menunjukkan objek menyerupai pistol melalui tingkap kereta," katanya.

Beliau berkata, suspek mengaku menunjukkan pistol itu kerana marah kepada mangsa yang membunyikan hon terhadapnya.

"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau dalam kes dadah.

"Suspek ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!