Kolej UNITI PD perluaskan projek fertigasi cili untuk pelajar

Pengurus projek fertigasi cili KUPD, Salina Haris (tiga dari kiri) menerangkan mengenai teknik tuaian cili kepada Anwar, disaksikan Amir Hamzah (kanan) dan Jamal (kiri) di tapak ladang projek fertigasi cili di Port Dickson pada Rabu.
Pengurus projek fertigasi cili KUPD, Salina Haris (tiga dari kiri) menerangkan mengenai teknik tuaian cili kepada Anwar, disaksikan Amir Hamzah (kanan) dan Jamal (kiri) di tapak ladang projek fertigasi cili di Port Dickson pada Rabu.
A
A
A

PORT DICKSON - Kolej UNITI Port Dickson (KUPD) yakin projek fertigasi cili yang dibangunkan di kampus Tanjung Agas, di sini sejak tiga tahun lalu akan membantu institusi pengajian tinggi terbabit melahirkan lebih ramai graduan yang holistik, cemerlang dan berciri keusahawanan.

Ketua Pegawai Eksekutif KUPD, Amir Hamzah Md Isa berkata, melalui projek tersebut pelajar yang sedang menuntut dalam pelbagai bidang bukan sahaja berpeluang menyertai program keusahawanan tani bermodul secara sistematik tetapi juga menjana pendapatan sampingan sepanjang tempoh pengajian.

Katanya, pelajar yang terlibat akan didedahkan dengan setiap proses penanaman cili bermula daripada semaian, penyediaan tapak, penjagaan, penyediaan baja dan racun sehinggalah menuai serta memasarkan hasil.

"Pelajar yang mendaftar untuk projek ini hanya perlu turun ke ladang pada masa terluang tanpa mengganggu pelajaran terutama sebelah petang atau hujung minggu.

"Mereka yang terlibat akan menerima elaun mininum RM100 sebulan dan pelajar yang telah melengkapkan kesemua modul akan diberikan sijil oleh pihak kolej," katanya selepas majlis lawatan kerja Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke tapak ladang projek fertigasi cili berkenaan di sini pada Rabu.

Hadir sama pada majlis itu, Presiden KUPD, Datuk Jamal Mohd Amin dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek.

Tambah Amir Hamzah, bagi memberi peluang kepada lebih ramai pelajar terlibat dalam inisiatif berkenaan, pihaknya telah memperluaskan kawasan ladang fertigasi cili yang sebelum ini hanya sekadar satu ekar (0.4046 hektar).

"Pada awal projek, ladang ini hanya mampu menempatkan kira-kira 5,000 pokok cili namun baru-baru ini, ia telah diperbesarkan kepada tiga ekar (1.214 hektar) dengan kapasiti sebanyak 10,000 pokok cili dalam satu-satu masa.

Artikel Berkaitan:

"Antara varian cili yang ditanam di sini adalah kulai, bara dan akar," katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, inisiatif program keusahawanan tani itu perlu dijadikan contoh kepada institusi pengajian tinggi lain di seluruh negara.

"Saya mengucapkan syabas dan tahniah atas inisiatif seperti ini. Tenaga pekerjanya adalah dalam kalangan pelajar KUPD dan mereka mampu meraih duit belanja hasil keringat sendiri.

"Komitmen KUPD wajar dicontohi dan saya bangga dengan kemajuan yang dicapai," katanya.